
POTENSI atlet boling muda negara, Aqil Faizal semakin berkembang ketika ini selepas meraih pelbagai pencapaian akhir-akhir ini dengan kejayaan di Kejohanan Tenpin Boling Interstate pada penghujung bulan lalu menambah koleksi gelaran buatnya.
Bagaimanapun, kejayaan paling berharga buat atlet 18 tahun itu sudah tentu ditempa dalam saingan Kejohanan Tenpin Boling Terbuka Antarabangsa Sarawak 2025 pada 13 hingga 15 September bulan lalu.
Aqil yang ketika itu mewakili pasukan Penang/PTBPP/MMBC menampilkan persembahan cemerlang sepanjang pertandingan itu melangkah ke pusingan akhir iaitu Last Man Standing dalam kategori terbuka.
BACA LAGI: Utamakan senaman dan guna bola boling yang sesuai dengan tangan — Pemain amatur
BACA LAGI: Pemain amatur berdepan kesukaran kenaikan harga dan kos pembaikan bola boling
Tetapi, cabaran besar menanti atlet muda kelahiran Pulau Pinang itu dalam perlawanan akhir apabila dia bertemu legenda boling dari England, Dominic Barrett yang amat disegani dalam sukan terbabit.
Ini kerana pesaing dari Eropah itu berjaya merangkul pelbagai kejuaraan di pentas antarabangsa sepanjang kariernya selain pernah diangkat sebagai Pemain Boling Terbaik Tahunan sepanjang tiga kali.
Cabaran itu tidak menghalang Aqil daripada mencipta kejutan selepas dia mencipta kemenangan paling bermakna dalam kariernya menerusi kutipan mata 253 pin berbanding 249 direkodkan lawannya itu,
Kejayaan Aqil menundukkan wakil dari England itu sememangnya sesuatu yang sukar dilupakan dengan pencapaian terbabit sekali lagi diabadikan jurulatihnya, Adrian Charles.
Jurulatih tersebut berkongsi pertembungan epik antara kedua-dua finalis itu di Facebook pada Sabtu yang menyaksikan orang ramai sempat meninggalkan komen bersemangat buat Afiq.
Aqil (dua dari kiri) muncul juara dalam kategori terbuka Kejohanan Tenpin Boling Terbuka Antarabangsa Sarawak 2025. — Facebook/Sarawak International Open Tenpin Bowling Championship
Malah, seorang pengguna Facebook, Muhammad Hafiz yang menonton perlawanan tersebut secara penuh menyedari bahawa atlet muda terbabit mengalami kecederaan jari.
Jari hantu Aqil kelihatan seakan-akan melecet ketika pertembungan mendebarkan berkenaan, namun ia tidak menghalangnya daripada terus menampilkan persembahan terbaik.
Kejayaan tersebut menyaksikan Aqil mengharumkan nama negara selain membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM20,000 serta trofi sementara Dominic membawa pulang RM10,000 selaku naib johan dalam kategori berkenaan.
Untuk rekod, Aqil pernah bersaing dalam pelbagai kejohanan peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa, termasuk membantu Pulau Pinang dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) tahun lalu di Sarawak.
Dia yang merupakan penuntut Asasi Sains dan Seni di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) turut berada dalam skuad boling remaja negara yang meraih pingat emas di Kejohanan Boling Remaja Asia ke-24 di Doha, Qatar pada 2024.
Jika terus diberikan peluang, Aqil mempunyai potensi untuk terus mengharumkan nama negara dalam sukan terbabit dengan masih banyak masa dimilikinya untuk terus mengasah bakat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram