
MENJELANG sepak mula Liga Malaysia musim 2025/2026, beberapa kelab Liga Super mula mengorak langkah awal dengan mengatur perlawanan pramusim di luar negara sebagai persiapan rapi menghadapi musim baharu.
Juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) kini sedang menjalani kem latihan intensif selama lebih tiga minggu di Sepanyol.
Sepanjang tempoh itu, Harimau Selatan dijadualkan mengharungi lapan perlawanan persahabatan menentang kelab tempatan di Sepanyol sebagai sebahagian daripada persediaan fizikal dan taktikal.
BACA LAGI: Mula tunjuk belang, import Terengganu antara 3 rekrut sudah ledak gol pertama
BACA LAGI: Orang kuat Terengganu, NSFC yakin pengurangan kuota import bonus buat bintang lokal
JDT kini sedang menjalani kem latihan intensif selama lebih tiga minggu di Sepanyol. — Facebook/JST
Turut mengikuti jejak sama adalah Selangor FC yang memilih Thailand sebagai destinasi kem pramusim mereka. Skuad kendalian Katsuhito Kinoshi dilaporkan akan berdepan lima kelab sekitar Bangkok bagi menguji keserasian dan kekuatan skuad menjelang musim baharu.
Menariknya, bukan hanya dua gergasi Liga Super itu yang aktif di luar negara. Tiga lagi kelab tempatan turut mengambil inisiatif sama dengan merancang aksi pramusim menentang kelab luar sebagai medan pemanas badan sebelum saingan sebenar bermula.
Langkah itu dilihat sebagai perkembangan positif bagi Liga M apabila semakin banyak kelab mengambil pendekatan profesional dalam merancang pramusim, seiring dengan usaha meningkatkan pencapaian bola sepak tempatan di peringkat lebih tinggi.
Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga kelab yang bakal mengadakan aksi pramusim bersama kelab luar negara.
1. Sabah FC vs Buriram United
Sabah FC bakal menguji kekuatan juara Liga 1 Thailand, Buriram United FC dalam perlawanan persahabatan pramusim yang dijadual berlangsung pada 13 Julai ini sempena aksi Asean Charity Shield 2025 di Stadium Rainbow, Pattani, Thailand.
Perlawanan itu merupakan edisi kedua penganjuran Asean Charity Shield selepas edisi sulung pada 2023 yang menyaksikan Buriram membelasah Kelantan FC 7-0. Dalam aksi tersebut, pemain bintang seperti Suphanat Mueanta, Jonathan Bolingi dan Haris Vuckic antara penjaring untuk skuad Thunder Castle.
Kali ini, giliran Sabah FC untuk menguji ketajaman Buriram dalam misi membentuk keserasian dan kekuatan menjelang musim baharu Liga Malaysia 2025/2026.
Sabah bakal bertemu juara Liga 1 Thailand, Buriram United FC untuk aksi pemanas badan. — Facebook/Sabahfc
Skuad kendalian Martin Stano memiliki barisan pemain yang cukup berpengalaman dan berkualiti seperti Stuart Wilkin, Dominic Tan serta penjaga gol veteran, Khairul Fahmi Che Mat.
Turut memperkuatkan cabaran Sang Badak ialah beberapa muka baharu termasuk Fergus Tierney, Dane Ingham, Dean Pelekanos dan Ajdin Mujagic yang dijangka memberi nafas segar kepada jentera pasukan.
Aksi menentang Buriram ini bukan sahaja menjadi medan terbaik buat Sabah menguji barisan pemain baharu, malah memberi gambaran awal sejauh mana kekuatan mereka sebelum tirai liga dibuka Ogos nanti.
2. NSFC vs Semen Padang
Negeri Sembilan FC (NSFC) bakal menguji kekuatan kelab Liga 2 Indonesia, Semen Padang FC dalam perlawanan persahabatan pramusim yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
Perlawanan itu diumumkan oleh Penasihat Semen Padang, Andre Rosiade yang memaklumkan bahawa skuad Kabau Sirah akan menentang dua kelab Malaysia sepanjang kem latihan mereka di negara ini.
Salah satu daripada perlawanan tersebut membabitkan pertemuan dengan NSFC yang kini sedang merangka persiapan rapi menjelang sepak mula Liga Malaysia musim 2025/2026.
Bagi Skuad Jang, aksi ini merupakan platform terbaik untuk menilai tahap kecergasan dan keserasian pemain, termasuk beberapa muka baharu seperti Khuzaimi Piee dan Jovan Motika yang baru menyertai pasukan.
NSFC dipilih Semen Padang sebagai lawan pemanas badan. — Facebook/NSFC
Selain menjadi medan menguji formasi dan strategi baharu, perlawanan ini juga dilihat penting dalam membentuk momentum pasukan sebelum menghadapi kempen liga yang dijangka lebih mencabar musim ini.
NSFC dijangka menurunkan barisan terbaik mereka bagi memastikan setiap pemain mendapat minit permainan dan menunjukkan kemampuan sebenar kepada ketua jurulatih.
Perlawanan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada NSFC, malah turut mengukuhkan hubungan bola sepak serantau antara Malaysia dan Indonesia.
3. KL City vs Semen Padang
Selepas Negeri Sembilan FC, Kuala Lumpur City FC (KL City) turut diumumkan sebagai antara pasukan yang bakal menjadi medan pemanas badan buat kelab Liga 2 Indonesia, Semen Padang FC dalam siri jelajah pramusim mereka di Malaysia.
Perlawanan itu dijangka menjadi platform penting buat Kabau Sirah untuk menilai prestasi dan taktikal pasukan sebelum memulakan kempen kompetitif mereka di Indonesia, selain menguji kekuatan kelab-kelab dari Liga Malaysia.
Bagi KL City, pertemuan itu bukan sekadar aksi pemanas badan, tetapi juga peluang terbaik untuk membina semula momentum dan mengenal pasti keserasian barisan pemain sebelum tirai Liga M musim depan dibuka Ogos nanti.
KL City dilihat antara kelab tanah air yang mampu memberi cabaran sengit musim depan. — Facebook/KLCityfc
Kerjasama dan pertemuan rentas negara tersebut dilihat sebagai langkah positif dalam memperkukuh hubungan antarabangsa antara kelab serantau.
Ia bukan sahaja memanfaatkan aspek pembangunan bola sepak, tetapi turut membuka ruang kerjasama strategik pada masa akan datang.
Gabungan aksi KL City dan NSFC sebagai rakan sparing kepada Semen Padang memperlihatkan kesediaan kelab-kelab Malaysia untuk membuka pintu kepada perlawanan antarabangsa demi menambah baik kualiti serta pendedahan pemain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram