Aaron Chia-Wooi Yik, Bonnie Bunyau antara calon hangat ungguli Anugerah SAM-100PLUS


  • Podium
  • Ahad, 13 Jul 2025

Pelbagai kategori bakal dipertandingkan bagi Anugerah SAM-100PLUS kali ini dengan ganjaran lebih lumayan disediakan.

PERSATUAN Penulis Penulis Sukan Malaysia (SAM) sentiasa memastikan penganjuran majlis Anugerah SAM-100PLUS berlangsung dengan kualiti dan prestij dalam mengangkat media sukan di Malaysia.

Malah, persatuan tersebut turut menghargai pengorbanan dan jasa atlet termasuklah atlet para negara sepanjang 2024 demi mengharumkan nama negara di pentas dunia khususnya.

Presiden SAM, Norismadi Abdul Manap berharap atlet muda khususnya menjadikan atlet yang memenangi dua anugerah; Atlet Terbaik dan Atlet Para Terbaik di Anugerah SAM-100PLUS sebagai bukti rakan rakan media sentiasa menyokong dan meraikan perjuangan dan pengorbanan yang dilakukan setiap tahun.

BACA LAGI: Wartawan The Star bawa pulang trofi Anugerah SAM 2023

BACA LAGI: Juara dunia rebut gelaran Atlet Terbaik Anugerah SAM-100PLUS 2022

Ismadi menganggap penganjuran Anugerah SAM-100PLUS diadakan bagi meraikan pencapaian atlet tempatan.

“Setiap pencapaian yang dikecapi pasti akan ada ganjarannya. SAM sentiasa meraikan mereka yang telah mengharumkan nama negara tetapi pada masa yang sama, inisiatif ini turut dilihat lebih ramai atlet muda.

“Banyak kriteria yang diambil kira dan perbincangan turut dilakukan dengan pelbagai pihak sebelum senarai pendek diumumkan. Pencalonan ini tidak hanya memfokuskan atlet elit semata mata tetapi turut mengambil kira pencapaian oleh atlet muda,” katanya.

Majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2024 akan dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan dijadual berlangsung pada Isnin di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya, Selangor.

Tumpuan pastinya terarah kepada Anugerah Atlet Terbaik yang menyaksikan persaingan lima penjuru melibatkan tiga ratu sukan; Sin Li Jane (tenpin boling), Nur Farah Ain Abdullah (boling padang) dan Tan Cheong Min (wushu) dengan tiga atlet lelaki; Soh Wai Chin (pelari menara) serta Aaron Chia –Soh Wooi Yik (badminton).

Anugerah Atlet Para Terbaik juga tidak kurang hebatnya kerana ia bakal direbut dua individu, Cheah Liek Hou (para badminton) dan Bonni Bunyau Anak Gusti (powerlifting) yang mana kedua duanya memburu gelaran ketiga sejak Anugerah Atlet Para Terbaik diperkenal di Anugerah SAM -100PLUS edisi 2017.

Aaron Chia (kiri) dan Wooi Yik antara calon utama membawa pulang Anugerah Atlet Terbaik.

Tiga atlet para olahraga Muhd Ziyad Zolkefli (lontar peluru), Datuk Abdul Latif Romly (lompat jauh) dan Eddy Bernard (lari pecut) turut mengintai peluang untuk bersaing bagi memenangi anugerah ini.

Kedua-dua pemenang Atlet Terbaik dan Atlet Para Terbaik 2024 masing masing akan menerima hadiah wang tunai RM 10,000 beserta trofi.

SAM turut mengiktiraf jasa dan sumbangan pasukan, persatuan dan individu yang telah menyumbang dalam industri sukan negara.

Gergasi bolasepak di Selatan tanah air, Johor Darul Ta'zim (JDT) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas SAM-100PLUS 2024 sebagai menghargai sumbangan luar biasa kelab berkenaan dalam mengangkat martabat bola sepak negara di peringkat serantau.

Manakala pencapaian dan kejayaan menyeluruh dalam aspek pengurusan, pembangunan dan prestasi, Persatuan Sepak Takraw Malaysia, PSM pula dinobatkan penerima Anugerah Persatuan Sukan Dinamik.

Nur Ain Nabilah-Aleena dinobatkan juara pada Kejohanan Boling Padang Wanita 2023.

Sumbangan luar biasa dalam membangunkan bola sepak tanahair daripada akar umbi hingga pentas antarabangsa, melayakkan Tan Sri Hamidin Mohd Amin dipilih untuk menerima Tokoh Kepimpinan Sukan.

Meskipun di usia muda kejayaan memadamkan rekod kebangsaan 1500 meter gaya bebas lelaki milik Jeffrey Ong yang bertahan selama 35 tahun serta meraih enam pingat emas dan mencipta lima rekod kejohanan baharu di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak memastikan perenang muda negara, Muhd Dhuha Zulfikry untuk menerima Anugerah Atlet Muda Terbaik.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden SAM, Izahar Atan berterima kasih dengan rakan rakan strategik SAM yang turut membantu dalam menjayakan penganjuran Anugerah SAM-100PLUS.

“Ucapan terima kasih oleh SAM kepada penaja kami, 100PLUS selaku rakan penaja utama yang sentiasa komited dalam penganjuran majlis Anugerah SAM-100PLUS setiap tahun.

“SAM sentiasa menerima kehadiran rakan rakan penaja baharu yang berminat untuk bekerjasama dan ia tidak hanya terbatas melalui anugerah ini sahaja kerana banyak lagi aktiviti yang boleh dilakukan bersama sama pemegang taruh sukan negara dan secara tidak langsung memeriahkan dan menaikkan lagi imej industri sukan negara,” kata Izahar Atan.

Bagi edisi kali ini, barisan kepimpinan SAM bersetuju menaikkan jumlah hadiah kemenangan bagi anugerah utama iaitu Siebel kepada RM10,000 berbanding RM7,000 sejak anugerah ini diperkenal pada 2016.

Satu lagi anugerah yang dinaikkan adalah Pengulas Sukan Popular dimana wang kemenangan terbaharu adalah RM3,000 berbanding RM 1,500 sejak ia diperkenalkan pada 2023.

Anugerah di bahagi kepada enam kategori – Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.

Pemenang terbaik keseluruhan untuk kategori kewartawanan sukan akan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Siebel. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram