Harumkan nama negara di Jakarta, kontinjen Malaysia beri hadiah istimewa Hari Kebangsaan ke-68


  • Podium
  • Selasa, 26 Ogos 2025

Kutipan pingat kontinjen negara di Jakarta adalah lebih baik berbanding edisi sulung yang diadakan sebelum ini.

KONTINJEN negara menamatkan saingan di Sukan Asia Tenggara (SEA) Pekak 2025 yang berlangsung di Jakarta, Indonesia dengan bergaya selepas memecahkan beberapa rekod sebelum menamatkan kempen di tangga teratas dalam carta kutipan pingat.

25 pingat emas yang dikumpul merupakan peningkatan berbanding 15 diraih pada edisi sulung kejohanan yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 2022.

Kontinjen yang dibarisi 80 atlet itu menampilkan persembahan memberangsangkan pada hari terakhir pertandingan dengan menonjolkan semangat juang dan ketekunan dalam semua acara disertai.

BACA LAGI: Jika Azeem Fahmi 'skip' Sukan SEA, pelari Kedah sedia ke Thailand

BACA LAGI: Zamir Azman 'tinggalkan' kembar, perbaharui rekod 100m raih pingat emas Sukan SEA Pekak 2025

Ainur (tengah) meraih pingat emas dalam acara catur wanita. Facebook/MSDeaf

Pencapaian tersebut juga amat bermakna buat masyarakat menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-68 pada 31 Ogos selain membuktikan pelaburan RM3 juta daripada kerajaan buat kontinjen menerusi Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) berbaloi.

Acara catur sekali lagi menjadi medan terbaik negara dalam Sukan SEA Pekak selepas Ainur Ashikin Junipeh mempamerkan persembahan cemerlang dalam kategori Blitz wanita untuk menghadiahkan emas ke-22 negara.

"Saya sememangnya gembira selepas dapat menyumbangkan kepada kejayaan negara. Saya meraih pengalaman berharga setelah berdepan lawan lebih berusia dan memiliki rakan sepasukan yang saling bantu-membantu," kata atlet berusia 16 tahun itu.

Rakan sepasukannya, Loo Pin Xie turut mengikut rentak ditonjolkan setelah menampilkan aksi meyakinkan dalam kategori Blitz lelaki untuk mengatasi lawan dari Indonesia sebelum meraih emas ke-23 buat kontinjen Malaysia.

Kontinjen olahraga negara menghadiahkan 10 pingat emas buat negara dalam Sukan SEA Pekak 2025. Facebook/MSDeaf

Pasukan boling tenpin juga tidak kurang hebatnya apabila Ho Choon Seong meraih kejayaan dalam acara akhir Lelaki Masters dengan 1,795 mata jatuhan pin direkodkan untuk membawa pulang emas.

Atlet wanita, Siw Sing Hie menutup kempen Sukan SEA Pekak dengan menghadiahkan emas terakhir negara dalam kategori Masters menerusi kutipan 1,491 mata jatuhan pin.

Secara keseluruhan, kontinjen Malaysia meraih 10 emas dalam acara olahraga, lapan menerusi sukan boling, lima dalam acara catur sementara dua dikumpul dalam sukan badminton.

Dalam acara berkumpulan pula, skuad futsal lelaki membawa pulang pingat perak selepas menumpaskan Indonesia 3-2 dengan pencapaian sedemikian turut diraih pasukan wanita menerusi kemenangan 7-0 ke atas Thailand.

Pencapaian membanggakan negara yang menutup kempen dengan kutipan 25 pingat emas, 16 perak dan 11 gangsa melepasi sasaran 16 emas dan kutipan pingat keseluruhan hampir dua kali ganda berbanding catatan edisi lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram