[VIDEO] Tradisi dikekalkan, skuad Double Treble santuni rakyat Kedah bukti sokongan peminat jangan dipandang 'sebelah mata'


  • Podium
  • Jumaat, 10 Okt 2025

Sebahagian gambar yang dimuat naik ketika para pemain Kedah meluangkan masa bersama peminat di sebuah padang sosial dipercayai sekitar Negeri Jelapang Padi itu. — Facebook/khairilajharjaafar

KERINDUAN penyokong bola sepak Kedah terhadap barisan bintang yang pernah mencipta kegemilangan negeri itu akhirnya terubat apabila mereka bakal menyaksikan kemunculan semula wira-wira Hijau Kuning dalam aksi Ex Double Treble Kedah.

Pasukan legenda negeri itu akan turun menentang Ex Malaysia Legend (XLM), skuad yang dibarisi bekas pemain kebangsaan dalam perlawanan istimewa untuk merebut Piala CT Global Legend Cup 2025 yang bakal berlangsung di Stadium Darul Aman, Kedah pada Jumaat.

Perlawanan yang dijangka penuh nostalgia itu menghimpunkan nama-nama besar dalam sejarah bola sepak Kedah, termasuk Baddrol Bakhtiar, Victor Andrag dan Khyril Muhaimeen, tiga ikon tempatan yang cukup dikenali dan dihormati oleh penyokong setia Sang Kenari.

BACA LAGI: ‘Dia banyak membantu’, bintang import Terengganu dipilih legenda JDT dalam BEST XI minggu ke-7 Liga Super

BACA LAGI: [VIDEO] Rempuh papan iklan, bintang bola sepak di China patah tulang leher, berisiko lumpuh seumur hidup

Skuad Ex double treble Kedah akan menentang Ex Malaysia Legend bagi merebut Piala CT Global Legend Cup 2025. 

Menambahkan lagi aura perlawanan, skuad Ex Double Treble turut diperkuat oleh tiga legenda import yang pernah menjadi watak penting ketika era kegemilangan Double Treble Kedah FA 2007/2008 iaitu Nelson San Martin, Marlon Alex James dan Cornelius Huggins.

Kehadiran semula trio import ini ke bumi Jelapang Padi disambut hangat oleh peminat tempatan, yang turut hadir menyambut mereka di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Kepala Batas, Kedah sebelum menyaksikan sesi latihan terbuka di Stadium Darul Aman.

Malah, Marlon dan Huggins yang sudah lama meninggalkan Kedah turut meluangkan masa bersama Baddrol Bakhtiar, kini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun untuk menyantuni penduduk yang kurang bernasib baik, satu langkah yang mencerminkan hubungan erat mereka dengan komuniti setempat.

Aksi menyantuni rakyat ini bukanlah perkara baharu, malah menjadi satu tradisi yang sentiasa dipelihara sejak zaman kegemilangan Kedah FA yang mana para pemain bukan sahaja digelar bintang di kaca televisyen, tetapi juga dekat di hati rakyat.

Antara momen manis para pemain Kedah yang beramah mesra bersama penyokong Sang Kenari suatu ketika dahulu. Facebook/khairilajharjaafar

Berdasarkan perkongsian imbauan yang dikongsikan oleh jurufoto sukan, Khairil Ajhar Jaafar, dia berkongsi kenangan manis bersama legenda-legenda bola sepak Kedah menerusi satu hantaran di Facebook.

"Kita throwback zaman-zaman belajar guna digital camera Olympus dulu. Masa tu takut-takut lagi nak rapat dengan para pemain. Alhamdulillah sekarang berkawan semua. All the best untuk perlawanan esok," tulisnya.

Foto-foto yang dikongsikan memaparkan suasana mesra antara pemain dan penyokong, sekali gus menghidupkan semula semangat kekitaan yang pernah menyatukan peminat bola sepak Kedah di era kegemilangan lalu.

Lebih daripada sekadar perlawanan persahabatan, acara tersebut turut menjadi simbol penghargaan dan penghormatan buat para penyokong yang tidak pernah jemu memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan mereka.

Menariknya, antara gambar dimuat naik adalah ketika pemain meluangkan masa bersama peminat di sebuah padang sosial dipercayai sekitar Negeri Jelapang Padi itu.

Turut kelihatan adalah bekas pengendali skuad Lang Merah, Allahyarham Azraai Khor yang bersama anak-anak buahnya ketika tiba di padang terbabit.

Selain itu, Kedah FA membawa tiga trofi diraih pasukan terbabit pada musim berkenaan sesuai dengan gelaran Double Treble yang cukup sinonim dengan era kegemilangan bola sepak Kedah.

Tindakan para legenda menyantuni rakyat dan penyokong setia Kedah itu sekali gus menyaksikan sokongan daripada penyokong tidak wajar dipandang remeh, kerana ia mampu menjadi pemangkin kehadiran lebih ramai peminat ke stadium bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan.

Amalan mendekati komuniti bukanlah perkara baharu dalam bola sepak Kedah sebaliknya ia telah menjadi satu tradisi yang terus dipelihara, sebagai tanda penghargaan kepada penyokong yang sentiasa setia di belakang pasukan, tidak kira waktu susah atau senang.

Inisiatif yang ditunjukkan oleh Baddrol Bakhtiar bersama rakan sepasukan, jelas mencerminkan komitmen mereka untuk terus menghargai sokongan peminat yang tidak pernah jemu memberikan semangat kepada skuad Hijau Kuning sepanjang tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram