
PENGENDALI skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski bukan saja meraikan kemenangan besar 3-0 ke atas Laos dalam perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional New Laos, Vientiane tetapi turut menyampaikan sokongan padu kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang dianggapnya sebagai tulang belakang bola sepak Malaysia.
Cklamovski menegaskan tanpa sumbangan dan kepimpinan Tunku Ismail (TMJ), bola sepak tanah air mungkin sudah lama menemui penghujungnya.
“Saya lihat banyak pandangan negatif terhadap TMJ yang tidak adil dan tidak berasas. TMJ adalah pemimpin berwawasan tanpa beliau, bola sepak Malaysia sudah lama berakhir,” kata jurulatih kelahiran Australia itu.
BACA LAGI: Proses beri kerakyatan ikut saluran betul, ada statut itu hal FIFA dan FAM — Saifuddin
Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. — Instagram/hrhcrownprinceofjohor
Pada masa sama, Cklamovski turut memuji usaha TMJ dalam mempertingkatkan standard skuad kebangsaan melalui pelaburan besar, mendapatkan sokongan kerajaan dan memastikan kemudahan serta logistik terbaik disediakan bagi pasukan.
“Siapa yang dapatkan pembiayaan daripada Perdana Menteri dan sokongan kerajaan? Itu TMJ, bukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Siapa yang atur penerbangan khas untuk kami sampai ke sini secara profesional dan membuat persiapan rapi untuk perlawanan sukar ini? Itu TMJ,” jelasnya.
Cklamovski turut membezakan isu pentadbiran yang menyebabkan penggantungan FIFA dengan peranan TMJ, menegaskan bahawa kesilapan itu adalah tanggungjawab FAM, bukan TMJ.
Faisal Halim menjaringkan gol ketiga buat skuad Harimau Malaya. — Facebook/Malaysia NT
“Kita hadapi kesukaran termasuk penggantungan FIFA dan larangan tujuh pemain warisan yang menyebabkan mereka tidak layak beraksi selama 12 bulan, selain denda RM1.8 juta terhadap FAM.
"Namun, TMJ tetap menjadi tulang belakang dalam pembangunan bola sepak negara,” ujar Cklamovski.
Di samping itu, jurulatih berusia 47 tahun itu juga memuji pemainnya atas ketenangan dan profesionalisme mereka walaupun berhadapan dengan tekanan di luar padang dan keadaan padang yang mencabar.
“Kemenangan ini untuk rakyat Malaysia. Kami mahu memberi keyakinan bahawa kita mampu mencapai sesuatu yang istimewa. Saya bangga dengan pemain kerana menunjukkan prestasi sebegini.
“Walaupun pelbagai gangguan di luar sana, kami hanya fokus mengawal apa yang boleh kami kawal,” tambahnya lagi.
Kemenangan itu bukan sahaja melonjakkan semangat Harimau Malaya, tetapi juga mengukuhkan peranan TMJ sebagai pemangkin utama dalam usaha memajukan bola sepak negara. — The Star/T.AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram