Idea 'fresh', sukses kendali kelab kerdil antara kriteria terdesak diperlukan KRW


  • Podium
  • Jumaat, 10 Okt 2025

KRW FC terus bergelut selepas kira-kira dua bulan bersaing dalam Liga A1 Semi Pro. — Facebook/KRW FC

PELABURAN besar dibuat Kelantan Red Warriors (KRW) FC untuk menghangatkan arena bola sepak di negeri itu belum membuahkan hasil apabila mereka berada di tangga ke-12 Liga A1 Semi Pro.

Ini selepas pasukan itu gagal merekodkan sebarang kemenangan dalam enam perlawanan dengan empat daripadanya berakhir dengan keputusan seri sementara dua lagi menyaksikan kekalahan buat pasukan terbabit.

Tanggungjawab penuh perlu dipikul ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim yang diberi kepercayaan pihak pengurusan untuk memastikan musim debut KRW FC dalam liga terbabit menyaksikan hasil.

BACA LAGI: Masih kemarau kemenangan, Irfan Bakti optimis masalah dapat diselesaikan di Kedah

BACA LAGI: Matyo jadi ‘poster boy’ KRW berebutkan sokongan peminat — Irfan Bakti

Irfan Bakti belum membawa impak positif buat KRW FC dalam Liga A1 Semi Pro. Facebook/KRW FC

Pengalaman pengendali kelahiran Perak itu dalam divisyen teratas bola sepak tempatan tidak perlu diceritakan lagi selepas beberapa kelab pernah dibimbingnya sebelum ini.

Bagaimanapun, sentuhannya belum mampu membantu wakil Pantai Timur terbabit memberi cabaran dalam Liga A1 Semi Pro meskipun dibarisi nama-nama besar dari dalam dan luar negara.

Situasi tersebut membuka kemungkinan terdapat perubahan bakal dibuat pihak pengurusan yang mahu membawa masuk pakar taktikal baharu yang boleh membawa KRW FC ke tahap lebih tinggi.

Mereka juga tidak perlu runsing kerana ketika ini, terdapat tiga pilihan tersedia untuk kelab itu sekiranya mahu melakukan perubahan dengan kadar segera.

1. Akmal Rizal Ahmad Rakhli

Selepas mewarnai landskap bola sepak tanah air di atas padang, Akmal Rizal Ahmad Rakhli mengambil keputusan untuk terjun dalam bidang kejurulatihan bermula dengan peranan pembantu jurulatih Penang FC pada 2020.

Pelantikan tersebut menjadi titik permulaan buatnya menempa nama dalam dunia berkenaan sehingga akhirnya diberi kepercayaan penuh untuk bergelar pengendali skuad Harimau Kumbang empat tahun kemudian.

Meskipun memulakan kariernya dengan baik, jurulatih berusia 43 tahun berkenaan bergelut untuk membantu pasukan Utara tanah air tersebut sebelum akhirnya direhatkan pada November 2024.

Akmal Rizal tidak lagi mengendalikan pasukan selepas meninggalkan skuad Harimau Kumbang. Facebook/Penang FC

Sehingga kini, Akmal Rizal tidak lagi terikat dengan mana-mana pasukan yang kemudian mendesaknya menceburi dunia pundit dengan kepakaran dan pengalamannya ditagih.

Bagaimanapun, dia masih menyimpan hasrat untuk terus memikul peranan jurulatih dengan KRW FC merupakan destinasi terbaik kerana tidak berdepan tekanan hebat sekiranya hendak dibandingkan semasa berada bersama Penang FC.

Akmal Rizal juga agak sinonim dengan arena bola sepak di Kelantan kerana pernah beraksi buat skuad The Red Warriors (TRW) pada 2010, namun gagal menikmati zaman kegemilangan pasukan itu.

2. P Maniam

Keputusan PDRM FC untuk merehatkan P Maniam beberapa hari sebelum perlawanan akhir Piala Cabaran 2024/25 menimbulkan 1,001 tanda tanya kerana peminat bola sepak mengagumi kebolehannya di zon teknikal.

Semasa bersama skuad Sang Saka Biru, jurulatih terbabit mencipta beberapa keputusan mengejut dengan mengikat Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC di laman sendiri.

P Maniam membuktikan kebolehannya mencipta keputusan mengejut. Facebook/MFL

Tetapi, disebabkan isu pengurusan, pengendali itu akhirnya direhatkan dan sehingga hari ini, dia tidak terikat dengan mana-mana kelab dalam Liga Super mahupun Liga A1 Semi Pro.

Ini merupakan peluang terbaik buat KRW FC untuk melantiknya segera kerana kebolehan mencipta keputusan konsisten dan positif diperlukan pasukan itu.

Pengendali berkenaan juga tidak lagi asing dengan saingan anjuran Liga Bola Sepak Amatur (AFL) kerana pernah mengendalikan Harini FT pada 2023.

3. Rezal Zambery Yahya

Isu lesen menghalang jurulatih muda, Rezal Zambery Yaha untuk kekal mengendalikan skuad TRW selepas pasukan tersebut kembali ke saingan Liga Super 2023.

Ketiadaan jurulatih terbabit menyaksikan kelab Pantai Timur itu bergelut ketika pulang ke divisyen teratas bola sepak tempatan selepas membawa masuk Choi Moon-sik.

Rezal Zambery pernah membuktikan kebolehannya bersama skuad TRW. Facebook/Kelantan FC

Perubahan tersebut membuktikan Rezal lebih memahami Kelantan FC pada tahun terbabit dengan pengalaman singkatnya cukup untuk membawa skuad TRW ke tahap lebih tinggi.

Hasil sama diramal mampu diulangi sekiranya jurulatih kelahiran Johor itu diberi kepercayaan membimbing KRW FC memandangkan dia tidak lagi asing dengan saingan liga bawahan.

Meskipun kejayaan segera sukar dikecapi, Rezal yang memahami selok belok bola sepak di Kelantan dijangka mampu membawa perubahan ke atas prestasi pasukan berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram