
MINGGU ketujuh Liga Super menyaksikan beberapa kejutan dalam misi 13 kelab untuk terus memperkukuhkan cengkaman di kedudukan liga setakat ini.
Namun, yang mencuri tumpuan adalah prestasi ditampilkan oleh skuad dari utara, Penang FC apabila berjaya raih kemenangan pertama selepas kemarau tiga mata dalam lima perlawanan terdahulu.
Dan menariknya kemenangan berharga itu diraih apabila mereka menewaskan skuad yang semakin garang di pentas liga iaitu Negeri Sembilan FC (NSFC) dengan keputusan 2-1 menerusi jaringan Tchetche Kipree.
BACA LAGI: [VIDEO] Lambat jumpa rentak, bintang Liga Super tampil debut 'mengerikan'
BACA LAGI: [VIDEO] Bintang Liga A1 letakkan diri dalam senarai eksklusif, gegar JDT lepas hampir digugur
Pengendalinya, Wan Rohaimi Wan Ismail menyifatkan kerja keras anak buah selama ini berhasil untuk mereka tidak berputus asa meskipun bergelut di awal musim.
"Saya tak pernah ragu-ragu dengan potensi pasukan ini dan sentiasa percaya daripada awal musim bahawa pemain mampu melangkah lebih jauh.
"Pujian harus diberikan kepada semua pemain saya di mana mereka berjaya buktikan bahawa kelab ini tidaklah seteruk yang disangka dan dari segi kualiti dan corak permainan, mereka beraksi dengan baik.
"Apa pun, kita tidak boleh terlalu selesa sebab masih berada di kelompok bawah dan perlukan kemenangan berterusan, tidak boleh melakukan kesilapan sama," jelasnya memetik laporan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Selain itu, kelab yang semakin garang merapatkan jurang dengan Kuala Lumpur (KL) City FC dengan kedudukan di tangga kedua liga adalah Terengganu FC (TFC) apabila meraih 13 mata selepas tujuh perlawanan untuk berada di kedudukan ketiga manakala Johor Darul Ta'zim (JDT) gah di takhta liga.
Aksi Derbi Pantai Timur minggu lalu nyata beri kepuasan kepada skuad kendalian Badrul Afzan Razali itu apabila menundukkan Kelantan The Real Warriors, 4-1.
Badrul Afzan jelas lega terutamanya selepas melihat kombinasi yang semakin baik antara pemain tempatan dan import untuk mereka bekerjasama mempamerkan persembahan terbaik minggu lalu.
"Tiga mata ini amat berharga selepas kita kalah kepada Kuala Lumpur tempoh hari dan tahniah saya ucapkan kepada semua pemain atas perjuangan terutamanya di babak pertama.
"Kemenangan dan jaringan yang besar ini cukup bermakna apatah lagi menang di hadapan ribuan penyokong sendiri di mana para pemain betul-betul menggunakan peluang yang ada untuk jaringkan gol," katanya.
Keputusan lain pula menyaksikan PDRM FC yang terpaksa akur apabila tewas besar kepada JDT dengan keputusan 0-7 selain Kuching City FC meraih kemenangan berterusan menewaskan Sabah FC, 1-0 manakala Selangor FC pula menang 3-1 ke atas Imigresen FC.
Aksi Liga Malaysia akan berehat bagi memberi laluan kepada skuad kebangsaan dan kembali bersambung pada 17 Oktober ini bagi aksi pertama suku akhir Piala FA. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram