Hampir sebulan di ICU, legenda Kedah, Hussin Jaafar mula tunjuk perkembangan positif


  • Podium
  • Khamis, 02 Okt 2025

Hussin Jaafar kini menunjukkan perkembangan positif selepas menerima rawatan di ICU Hospital Sultanah Aminah dekat Johor Bharu, Johor di pertengahan awal bulan lalu. — Kedah Legends

 

 

BEKAS pemain legenda Kedah era 90-an, Hussin Jaafar kini menunjukkan perkembangan positif selepas menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah dekat Johor Bharu, Johor di pertengahan awal bulan lalu.

Menurut perkongsian Kedah Legends, Hussin sebelum ini dimasukkan ke hospital kerana masalah kesihatan yang tidak didedahkan, namun difahamkan keadaannya semakin baik apabila sudah sedar serta mampu makan dan minum dalam kuantiti terkawal.

“Kita dimaklumkan oleh anak beliau (Hussin) yang beliau telah pun sedar dan dapat makan dan minum dalam kuantiti yang terkawal.

BACA LAGI: Skandal pemain warisan: JDT kecewa kesilapan teknikal, harap isu selesai segera

BACA LAGI: Badrul Afzan usah pening, ada 3 pemain boleh ganti Akhyar hadap derbi Pantai Timur

"Ini adalah satu perkembangan kesihatan yang sangat positif buat Hussin Jaafar.

"Sama-sama kita doakan Hussin dapat dipindahkan ke wad biasa dan kembali sihat walafiat. Insya-ALLAH,” kata pentadbir laman Facebook berkenaan.

Tambahnya, pihak Kedah Legends turut menyampaikan sumbangan kepada isteri Hussin di hospital baru-baru ini bagi meringankan beban keluarga.

"Alhamdulillah kutipan sumbangan dapat disampaikan sendiri oleh wakil Kedah Legends, Datuk Mohd. Faridzul Kassim kepada isteri Hussin Jaafar di hospital pada 23 September lalu.

"Semoga sumbangan ini sedikit sebanyak membantu keperluan keluarga beliau," katanya.

Untuk makluman, Hussin yang merupakan antara watak utama dalam sejarah bola sepak Kedah turut diberi kepercayaan mengendalikan skuad Hijau Kuning dalam kempen Piala Emas Raja-Raja.

Menerusi kepimpinannya sebagai ketua jurulatih, Kedah berjaya melangkah ke separuh akhir dengan menggunakan formasi taktikal 3-6-1 yang jarang dipraktikkan pasukan lain pada ketika itu.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram