Isu dokumentasi: Rodrigo Holgado mohon cuti tanpa gaji — America de Cali


  • Podium
  • Sabtu, 04 Okt 2025

Holgado (tengah) dikatakan terbang ke Malaysia untuk menyelesaikan isunya digantung FIFA.

PENYERANG Harimau Malaya, Rodrigo Holgado, memohon cuti tanpa gaji daripada kelabnya América de Cali untuk pulang ke Malaysia bagi menyelesaikan isu penggantungan yang dikenakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Holgado, yang dilahirkan di Colombia, dilaporkan sudah tiba di Malaysia beberapa hari lalu selepas FIFA menjatuhkan hukuman penggantungan 12 bulan terhadapnya.

Tindakan disiplin itu dikenakan susulan dakwaan pemalsuan dokumen sebelum penyerang berusia 29 tahun itu membuat penampilan pertama bersama skuad kebangsaan.

BACA LAGI: 'Jiwanya masih di Sabah', Tae-su hadir sokong 'Sumandak', cetus nostalgia fans The Rhinos

BACA LAGI: Mendengar sendiri visi jelas TMJ, Indra Putra percaya urus krisis FIFA dapat diselesaikan

Kelab gergasi Colombia itu dalam kenyataan rasmi pada Jumaat memaklumkan, Holgado sendiri mengemukakan permohonan cuti berkenaan.

"Cuti tanpa gaji itu diluluskan selepas mempertimbangkan faktor peribadi pemain tersebut.

"Segala keputusan mengenai status Holgado berada sepenuhnya di bawah bidang kuasa FIFA,” menurut kenyataan itu.

Langkah cuti tanpa gaji itu sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai perancangan karier penyerang berusia 29 tahun itu, apatah lagi ketika masa depannya bersama kelab masih samar akibat isu penggantungan.

Setakat ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih belum mengeluarkan sebarang makluman rasmi mengenai hukuman tersebut dan dilaporkan sedang menunggu dokumen penuh keputusan penghakiman daripada FIFA.

Selain Holgado, enam lagi pemain iaitu Facundo Garcés, Imanol Manchuca, Jon Irazabal, Hector Hevel, Joao Figueiredo dan Gabriel Palmero turut dikenakan penggantungan 12 bulan oleh badan induk bola sepak dunia itu.

Untuk rekod, Holgado yang menyarung jersi America de Cali sejak musim 2024 sudah menjaringkan 18 gol dan lima bantuan jaringan dalam 77 perlawanan bersma kelab tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram