Penyokong terluka, FAM tak boleh diam — Hannah Yeoh


  • Podium
  • Selasa, 07 Okt 2025

Seramai tujuh pemain warisan terlibat dalam kes pemalsuan dokumen sehingga menyaksikan tindakan diambil FIFA. — Facebook/Malaysia NT

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya tidak berdiam diri dan segera memfailkan rayuan terhadap hukuman yang dikenakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Beliau berkata demikian susulan FIFA mengeluarkan alasan penghakiman berhubung keputusan menjatuhkan hukuman terhadap FAM serta tujuh pemain warisan negara.

“Saya telah membaca Alasan Penghakiman FIFA. FAM perlu melengkapkan proses rayuan dengan segera mengumumkan hasrat untuk merayu dan memfailkannya.

BACA LAGI: Isu dokumentasi: Rodrigo Holgado mohon cuti tanpa gaji — America de Cali

BACA LAGI: Kekal Raja Pantai Timur sejak 2016, konsisten poin penting TFC jauh ke depan berbanding seteru setempat

 

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh

“FAM tidak boleh berdiam diri dan mesti memberikan penjelasan yang jelas terhadap segala pendedahan dibuat oleh FIFA. Penyokong bola sepak tanah air kini berasa terluka, marah dan kecewa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, pada Selasa.

Dalam masa sama, Hannah turut menyeru penyokong agar terus memberikan sokongan kepada skuad Harimau Malaya yang bakal turun menentang Laos pada 9 dan 14 Oktober ini.

“Kita juga tidak boleh melupakan pasukan Harimau Malaya yang akan menentang Laos minggu ini. Kepada semua pemain Malaysia, kami sentiasa bersama anda,” katanya lagi.

Terdahulu, FIFA mengeluarkan dokumen penuh penghakiman yang mendedahkan asal usul sebenar tujuh pemain warisan negara yang sebelum ini digantung kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA membabitkan isu pemalsuan dan pengubahan dokumen rasmi.

Menurut laporan tersebut, FIFA mendapati tujuh pemain berkenaan tidak mempunyai pertalian darah dengan Malaysia seperti yang dinyatakan dalam dokumen kelayakan mereka.

Bagaimanapun, FAM menegaskan bahawa gambaran terhadap isu dokumentasi kelayakan tujuh pemain kebangsaan oleh FIFA adalah tidak tepat serta tidak adil.

FAM dalam satu kenyataan ada Selasa, memaklumkan pihaknya menerima dokumen penuh penghakiman daripada FIFA dan akan segera mengemukakan rayuan rasmi melalui saluran undang-undang yang ditetapkan.

“FAM memandang serius beberapa kesimpulan, khususnya dakwaan bahawa para pemain memperoleh dokumen yang dipalsukan atau dengan sengaja berusaha untuk mengelakkan peraturan kelayakan.

“FAM menegaskan bahawa tiada sebarang bukti yang menyokong dakwaan ini dikemukakan oleh FIFA. Segala dokumentasi dan penyerahan berkaitan kelayakan pemain telah disediakan, disahkan dan diuruskan sepenuhnya oleh FAM mengikut prosedur yang ditetapkan,” menurut kenyataan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram