Masih kemarau kemenangan, Irfan Bakti optimis masalah dapat diselesaikan di Kedah


  • Podium
  • Jumaat, 12 Sep 2025

KRW FC perlu segera memburu kemenangan dalam usaha memperbaiki kedudukan dalam carta Liga A1 Semi Pro. — Facebook/KRW FC

SELEPAS menempuhi dua perlawanan Liga A1 Semi Pro 2025/26, Kelantan Red Warriors (KRW) FC masih belum menikmati sebarang kemenangan kerana kedua-dua aksi itu berakhir dengan keputusan seri.

Kutipan dua mata itu menyaksikan kelab Pantai Timur tersebut berada di kedudukan ketiga tercorot yang sudah tentu merisaukan sekiranya tiada perubahan segera diambil.

Bagaimanapun, bagi Irfan Bakti Abu Salim yang merupakan pengendali pasukan, setiap masalah dihadapi boleh diselesaikan menjelang perlawanan berdepan Kedah FA di tempat lawan.

BACA LAGI: Matyo jadi ‘poster boy’ KRW berebutkan sokongan peminat — Irfan Bakti

BACA LAGI: Irfan Bakti ajak peminat meriahkan Liga A1 Semi-Pro sebagai ganti

Irfan Bakti optimis bahawa anak-anak buahnya dapat kembali bangkit. Facebook/KRW FC

Pengendali berpengelaman itu menyatakan tiga perlawanan di luar negeri secara berturut-turut memberikan ujian buat KRW FC, tetapi dia masih optimis akan peluang dimilikinya.

"KRW FC bertandang ke tempat lawan untuk tiga perlawanan. Bagi saya, ia satu ujian bagaimana kami untuk menghadapi dan bermain di venue lawan itu. Sebahagian pemain sudah biasa namun yang penting sekarang, kita hadapi dulu Kedah pada Sabtu," katanya.

Pasukan Pantai Timur itu menjadi satu daripada empat kelab yang masih belum meraih sebarang kemenangan dalam Liga A1 Semi Pro dengan Kedah FA, Manjung City FC dan Machan FC turut mengalami masalah sama.

Dilema lebih besar dialami KRW FC kerana tiga mata pertama perlu dikumpulkan dalam usaha meyakinkan penyokong untuk terus memberi sokongan selepas pelaburan dibuat pada jendela perpindahan lalu.

KRW FC menduduki tangga ke-14 selepas bergelut meraih mata setakat ini. Facebook/AFL

Tambah Irfan, pihak kejurulatihan berharap pemergian mereka ke Alor Setar, Kedah dapat mendatangkan kejayaan pertama dalam saingan Liga A1 Semi Pro musim ini.

"Pemain memang agak tumpul di bahagian serangan walaupun mempunyai beberapa peluang terbuka. Kami telah perbaiki setiap kelemahan semasa latihan. Saya yakin semua masalah dapat diatasi di Alor Setar untuk kita mendapatkan kemenangan yang ditunggu-tunggu," katanya.

Setakat ini, satu-satunya gol dijaringkan KRW FC adalah menerusi Arham Khussyairi ketika mereka mengikat UM-Damansara United menerusi keputusan 1-1 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan pada 22 Ogos lalu.

Dalam perlawanan berikutnya, pasukan itu gagal menambah jumlah jaringan semasa terikat tanpa sebarang gol berdepan Seoul Phoenix FC dalam aksi yang turut berlangsung di venue sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram