
AKSI Piala Sultan Selangor 2025 yang diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu menerima perhatian cukup baik kerana penyokong enggan melepaskan perlawanan cukup bersejarah itu.
Penonton pada awalnya disajikan pertembungan antara Veteran Selangor dan Veteran Singapura dengan kedua-dua pasukan dibarisi legenda masing-masing seperti Fandi Ahmad dan Datuk Zainal Abidin Hassan.
Selepas perlawanan itu berakhir, Piala Sultan Selangor diteruskan dengan aksi melibatkan Pilihan Selangor dan Pilihan Singapura yang merupakan titik utama pertandingan jemputan terbabit.
BACA LAGI: Lima jalan utama sekitar KL ditutup sempena Piala Sultan Selangor
BACA LAGI: Tatkala kelab lain terus ke depan, adakah Selangor masih tersangkut di takuk lama?
Barisan pemain legenda Selangor yang beraksi dalam aksi Veteran Selangor menentang Veteran Singapura.
Ini kerana pertembungan tersebut membabitkan pemain yang masih aktif di peringkat profesional, termasuk nama-nama besar dalam skuad Gergasi Merah seperti Faisal Halim dan Chrigor Moraes.
Jadi, tidak hairanlah apabila ribuan peminat hadir ke Stadium Merdeka untuk menyaksikan pertemuan itu dengan ratusan kanak-kanak turut berada di bangku penonton.
Bagaimanapun, aksi Piala Sultan Selangor 2025 memberi makna lebih besar buat seorang penyokong cilik yang sempat membawa pulang cenderahati dari perlawanan tersebut.
Kisah tersebut dikongsikan di Threads Coach Yuzz memaparkan peminat kanak-kanak itu memegang kad merah dan kuning milik pengadil permainan.
Penyokong cilik bersama kad merah dan kuning diserahkan pengadil selepas aksi Piala Sultan Selangor 2025.
"Biasanya penonton akan minta baju atau kasut pemain, tetapi dia minta kad merah dan kuning dari pengadil," tulisnya.
Melihat kepada kad dimiliki penyokong itu, ia merupakan standard keluaran FIFA dengan pegawai bertugas turut memperoleh pengiktirafan dari organisasi antarabangsa tersebut.
Ini sudah tentu menjadi satu kenangan manis buat peminat berkenaan yang akan terus menantikan penganjuran Piala Sultan Selangor bagi edisi akan datang.
Trofi bersejarah itu kini menjadi milik Pasukan Selangor yang menumpaskan pihak lawan menerusi keputusan 2-1 hasil jaringan Harry Danish dan Chrigor Moraes sementara gol tunggal pihak lawan dicetak Takumi Yokohata.
Ini merupakan kali ke-12 pasukan Merah Kuning itu membawa pulang kejuaraan selepas kali pertama dipertandingkan pada 2001 yang turut menceritakan dominasi penuh mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram