Matyo jadi ‘poster boy’ KRW berebutkan sokongan peminat — Irfan Bakti


Oleh M AZIM
  • Podium
  • Selasa, 29 Jul 2025

Norshahrul dijangka menjadi pemain paling berusia dalam saingan Liga A1 Semi Pro musim depan. — Facebook/KRW FC

PADA usia 39 tahun, Norshahrul Idlan Talaha atau lebih dikenali dengan panggilan Matyo mungkin pemain tertua yang didaftarkan untuk beraksi dalam Liga A1 Semi-Pro musim 2025/2026.

Selain kemewahan pengalaman dan sentuhan jaringannya yang terus ditagih, ketua jurulatih Kelantan Red Warrior (KRW) FC, Irfan Bakti Abu Salim, melihat ada peranan lain yang diharapkannya daripada pemain kelahiran Besut, Terengganu pada 8 Jun 1986 itu.

“Matyo adalah ‘poster boy’ pasukan kami. Padanya, kami boleh mengharapkan sokongan yang boleh dibanggakan daripada peminat tegar bola sepak Kelantan,” kongsinya dengan Bola Pegun.

BACA LAGI: MFL hadapi cabaran besar kembalikan penonton ke stadium bagi musim 2025/26

BACA LAGI: Badrul Afzan: Usah khuatir barisan depan TFC hilang sengat

Irfan Bakti menjelaskan keputusan di sebalik kehadiran Norshahrul dalam pasukan.  Facebook/KRW FC

Di mana Kelantan FC dan Kelantan Darul Naim (KDN) FC sebelum ini gagal menarik minat ramai, KRW menyasarkan untuk mengubati kerinduan mereka terhadap persembahan menghiburkan yang didambakan di Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV), Kota Bharu.

Apatah lagi, musim baru bermula awal bulan depan akan menyaksikan penyertaan tiga pasukan berbeza mewakili Kelantan – KRW, Kelab Bola Sepak Wan Tendong Stable (Kelantan WTS FC) dalam Liga A1 Semi Pro di samping Kelantan The Real Warriors (TRW) FC yang bermain di pentas Liga Super.

Beberapa bulan terakhir ini menyaksikan pasukan legenda Kelantan yang turut membariskan Matyo mampu menarik peminat meriuhkan semula keadaan di SSMIV dalam aksi persahabatan menentang lawan seperti legenda Kedah, Selangor dan Pahang.

Ia mengembalikan nostalgia kegemilangan silam skuad juara ‘treble’ Kelantan pada musim 2012 yang ditenggelami kemunculan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam era selepas itu.

Norshahrul merekodkan pelbagai kejuaraan sepanjang kariernya di pentas bola sepak.  Facebook/Mat Yo

Namun, seperti dipertahankan oleh Irfan Bakti, keputusan menandatangani Matyo tidak hanya berlandaskan untuk menjaja namanya semata-mata pada ketika pemain yang pernah mewakili 13 pasukan berbeza sejak 2003 itu terbukti masih tajam di depan gol.

“Tiap kali diturunkan, Matyo akan jadi kapten tapi tidak semestinya untuk keseluruhan 90 minit. Buat seorang pemain pada usianya, dia cukup berpengalaman untuk mengatur bagaimana dia harus bermain dan pada masa sama memberi bimbingan kepada pemain-pemain muda,” katanya.

KRW turut diperkuatkan antaranya oleh tiga bekas pemain Terengganu FC, Faiz Nasir, Syafik Ismail dan Zuasyraf Zulkiefle, selain dua pemain pinjaman dari Kuching City FC, Iskandar Shah Jamil dan Aiman Joanny.

enaga importnya pula termasuk bekas pemain Oldham Athletic, Otis Khan, Emmanuel Mbarga, 26, pemain sayap kelahiran Cameroon yang didatangkan dari kelab Liga 2 Thailand, Chainat Hornbill FC dan Kayden Soper, 20, bekas pemain kelab Liga Australia, Weston Bears FC, yang bersama Manjung City musim lalu.

Faiz Nasir turut memperkuatkan KRW FC bagi saingan Liga A1 Semi Pro 2025/26.  Facebook/KRW FC

Irfan Bakti turut berasa terdorong oleh semangat melawan pasukannya yang tidak membariskan pemain import untuk bangkit daripada ketinggalan bagi mengikat Terengganu FC 2-2 hasil gol Yusri Yuhasmadi dalam perlawanan persahabatan bersaksikan 13,000 penonton di SSMIV pada 4 Julai lalu.

Selain perlawanan itu, KRW tewas 0-2 kepada Negeri Sembilan FC, membelasah Pusen City FC 5-0 dan tunduk 0-1 kepada juara Liga A1 musim lalu, Melaka FC, 0-1.

“Selepas 50 hari pasukan dibentuk pada 16 Jun, pemain-pemain sudah menunjukkan keserasian untuk bergerak sebagai satu unit dan tidak bergantung kepada skil individu kerana itulah yang saya harapkan daripada pasukan.

“Kalau ditanya, saya boleh katakan saya berasa sedap hati dengan pasukan yang kami ada dan tidak sabar menantikan perlawanan pertama (menentang Selangor II pada 4 Ogos),” katanya.

Cuma Irfan Bakti agak terkilan kerana dalam kerancakan pasukan melakukan persiapan terakhir, KRW dikejutkan oleh khabar ia dihalang Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) daripada mendaftarkan pemain sehingga 14 Ogos ini.

Nik Hafiz (kanan) menjelaskan KRW FC merupakan entiti berbeza berbanding Kelantan FC.  Facebook/KRW FC

Sebelum ini, Kelantan RW menerima surat tunjuk sebab daripada FIFA selepas badan induk itu mahu pasukan itu membuktikan mereka entiti berbeza daripada kelab Kelantan FC.

Kelantan FC pernah beraksi dalam Liga Super musim 2023 dengan menggunakan gelaran The Red Warriors. Sekiranya FIFA mendapati kedua-dua kelab ialah entiti yang sama, Kelantan RW bakal berdepan hukuman sekatan perpindahan – yang terdahulu dikenakan ke atas Kelantan FC sejak sejak September 2024.

Terbaharu, Presiden KRW FC, Nik Hafiz Naim Nik Hassan, mengesahkan sudah mengemukakan maklum balas berhubung surat tunjuk sebab FIFA itu pada 26 Julai lalu.

“Surat FIFA sudah dijawab dan dihantar pada 26 Julai, dengan mengharapkan isu ini tidak lagi berlarutan dan ganggu persediaan KRW,” katanya di X.

Irfan Bakti, dalam menepis pasukannya tiada kena-mengena dengan Kelantan FC yang dibebani pelbagai masalah sebelum ini, tidak mahu kemelut itu merencatkan keghairahan pasukannya menanti musim bermula.

“Biarlah pengurusan menyelesaikannya. Sasaran kami hanya satu – untuk layak ke Liga Super musim depan,” kata Irfan Bakti lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram