
UNIVERSITI Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Malaya (UM) muncul sebagai universiti Malaysia dengan kedudukan tertinggi bersama dalam Ranking Universiti Dunia 2026 oleh Times Higher Education (THE).
Kedua-dua institusi tersebut berada dalam jalur (band) kedudukan global 201–250, dengan UTP mengekalkan kedudukannya daripada edisi penarafan sebelumnya.
Bagi UM, ini merupakan pencapaian terbaik dalam sejarahnya setelah naik daripada jalur 251–300 dalam edisi 2025 hasil prestasi cemerlang dalam cabang (pillar) Penampilan Antarabangsa (International Outlook), apabila universiti itu mendaki 37 anak tangga ke tangga ke-107 dunia.
BACA LAGI: Gadis gayakan baju Kedah opah pada hari pendaftaran di universiti, simbolik kasih arwah nenek
BACA LAGI: Ibu cekal niaga pasar borong, anak capai impian jejak kaki ke Universiti Oxford
Dalam satu hantaran Facebook pada Khamis, universiti itu menyatakan ia turut mencatat peningkatan dalam indikator lain.
Pencapaian tersebut adalah menduduki ranking ke-167 dalam Pengajaran (naik 30 anak tangga), 280 dalam Persekitaran Penyelidikan (naik 41 anak tangga), 530 dalam Kualiti Penyelidikan (naik 75 anak tangga) dan 632 dalam Industri (naik 55 anak tangga).
"UM akan terus berusaha mencapai kecemerlangan, menunaikan peranannya sebagai pembawa panji negara dalam arena pendidikan tinggi global," kata universiti itu.
Dalam masa yang sama, UM memberitahu yang dia berada dalam kedudukan 10% teratas daripada 2,191 universiti di seluruh dunia.
Sementara itu, Universiti Sunway melonjak ke jalur 301–350, meningkat daripada jalur 400–500 tahun lalu dan berkongsi kedudukan yang sama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Sunway menunjukkan peningkatan prestasi dalam semua lima indikator utama, terutama dalam Kualiti Penyelidikan di mana ia kini berada di tangga ke-111 dunia.
Institusi itu juga menonjol dengan Penampilan Antarabangsa yang sangat tinggi, disokong oleh jaringan kerjasama global yang kukuh.
"Peningkatan dalam kedudukan global ini bukan sekadar pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik dan penyelidikan kami, tetapi juga terhadap nilai dan kepercayaan kami bahawa pendidikan adalah untuk kebaikan sejagat.
"Ia merupakan detik membanggakan bagi seluruh fakulti, kakitangan, pelajar dan rakan kongsi global kami,” kata Presiden dan Naib Canselor Universiti Sunway, Profesor Sibrandes Poppema, dalam satu kenyataan.
Selain UTP, UM, Sunway dan UKM, lima universiti Malaysia terbaik lain yang tersenarai termasuk Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dan Universiti Utara Malaysia (UUM), yang kesemuanya berada dalam jalur 401–500.
Universiti Putra Malaysia (UPM) pula berada dalam jalur 501–600 manakala Management and Science University (MSU), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berada dalam jalur 601–800.
Penarafan tersebut yang berpangkalan di United Kingdom ini merupakan antara penilaian kecemerlangan institusi paling dihormati dan teliti di dunia.
Ia menilai 2,191 universiti di seluruh dunia berdasarkan lima cabang utama: Pengajaran, Persekitaran Penyelidikan, Kualiti Penyelidikan, Industri dan Penampilan Antarabangsa. — The Star/JAAYNE JEEVITA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram