
APABILA berbicara mengenai kelab berpengaruh di dunia, Manchester United dari saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pasti akan disebut penyokong bola sepak global terutama pengikut setia skuad The Red Devils.
Pasukan dari Manchester, England berkenaan semakin dikenali ketika era Sir Alex Ferguson yang mengendalikan kelab selama lebih 26 tahun (1986–2013) dengan dia membawa 38 trofi untuk pasukan berkenaan.
13 gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) dan tiga takhta Liga Juara-Juara UEFA (UCL) menceritakan bagaimana kelab berkenaan menjadi antara yang terbaik sehingga pernah digeruni seluruh Eropah.
BACA LAGI: Hampir sah ke gergasi EPL, prospek hangat Uzbekistan rupanya rakan sepasukan bekas bek Selangor
BACA LAGI: The Special One-Solskjaer antara pengurus paling mahal Man United bayar, Amorim bakal ikut jejak?
Man United yang melahirkan ramai bintang dunia seperti George Best, Eric Cantona, David Beckham, Cristiano Ronaldo, Ryan Giggs, Wayne Rooney menjadikan United nama besar di peringkat antarabangsa.
Bagaimanapun, selepas era Ferguson berakhir, kelab berkenaan seakan-akan hilang arah dan masih tercari-cari formula kejayaan sebenar untuk mengembalikan zaman kegemilangan Man United.
Situasi itu mirip dengan Selangor FC yang suatu ketika dahulu digeruni dalam bola sepak tempatan dengan rekod 33 kejuaraan Piala Malaysia, tujuh Liga Super serta melahirkan ramai pemain legenda tanah air.
Tetapi, perjalanan mereka dalam dekad kebelakangan ini memperlihatkan persamaan ketara dengan United apabila sama-sama bergelut untuk bangkit semula selepas kegemilangan silam.
Man United di era Ferguson bukan bahan cacian penyokong kelab lain. — Agensi
Seperti United yang telah menukar ramai pengurus sejak 2013 termasuk David Moyes, Louis van Gaal, Jose Mourinho, Ole Gunnar Solskjaer hingga kini Ruben Amorim, Selangor juga sering melakukan rombakan di kerusi ketua jurulatih.
Manakala, naib juara Liga Super musim 2024/2025, Selangor pula mengumumkan keputusan mengejut apabila merehatkan ketua jurulatih iaitu Katsuhito Kinoshi daripada tugasan utama pasukan berkuat kuasa serta-merta pada 26 September lepas.
Bayangkan sahaja, Gergasi Merah setakat ini sudah menukar lima jurulatih sejak musim 2021 hingga menyebabkan mereka sukar untuk konsisten dalam liga mahupun saingan antarabangsa.
Pergantian jurulatih tidak berpenghujung itu menunjukkan kegagalan mengekalkan kesinambungan jangka panjang serta membina projek stabil yang mampu mengembalikan dominasi.
Untuk rekod, Kinoshi dilantik pada 25 November tahun lalu. — Facebook/SelangorFC
Selain itu, baik Red Giants mahupun Red Devils, kelompok penyokong mereka tidak pernah melupakan zaman keemasan berikutan sehingga kini masih meratib kejayaan-kejayaan lampau.
Nostalgia era Ferguson di Old Trafford dan era legenda Mokhtar Dahari atau kejayaan Selangor menjuarai Piala Malaysia sering dijadikan kayu ukur, lalu meletakkan tekanan tinggi terhadap pasukan semasa.
Persamaan sama dua kelab itu apabila Man United dan Selangor turut berdepan kritikan terhadap pengurusan dengan penyokong Red Devils mengecam kepimpinan Sir Jim Ratcliffe yang dianggap mementingkan keuntungan berbanding prestasi di padang.
Selangor pula tidak terlepas daripada pandangan skeptikal termasuk isu pengurusan kewangan, strategi pembangunan, dan hala tuju pasukan yang dikatakan kurang konsisten.
Penyokong Gergasi Merah masih semangat menunjukkan sokongan kepada Selangor walaupun tidak mendapat keputusan yang dimahukan. — Facebook/SelangorFC
Walaupun bergelut, nama besar Selangor dan United masih membawa aura susulan mereka tetap dianggap ‘gergasi’ bola sepak di benua masing-masing. Namun, status itu semakin dipersoalkan kerana pencapaian semasa tidak lagi sepadan dengan legasi lama.
Penyokong, media dan musuh atas padang kini menilai semula sama ada kedua-dua pasukan benar-benar layak digelar kuasa besar atau sekadar hidup di bawah bayangan sejarah.
Sama ada di Old Trafford atau di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, legasi gemilang tidak menjamin masa depan, tetapi kedua-dua kelab itu perlu berani bermula daripada bawah dengan melakukan perubahan besar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram