Ada resipi tundukkan JDT, Osmar Loss wajar 'dipinang' Selagor lepas tinggalkan Buriram United


  • Podium
  • Selasa, 07 Okt 2025

Osmar merupakan calon ideal pengurusan Selangor FC yang kosong susulan pemergian Kinoshi.

SELEPAS hampir setahun bersama Buriram United, Osmar Loss yang merupakan pengendali kelab Thailand tersebut mencipta kejutan apabila mengumumkan pemergiannya dari pasukan terbabit pada Selasa.

Perkara itu diumumkan juara bertahan Liga Thai berkenaan yang mengucapkan penghargaan buat jurulatih dari Brazil itu yang menjadikan pasukan terbabit digeruni.

Ini kerana pada musim 2024/25, Buriram United menjuarai empat gelaran, termasuk edisi sulung Piala Shopee selepas menundukkan wakil dari Vietnam, CAHN FC dalam perlawanan akhir.

BACA LAGI: Jika tundukkan Buriram United, peminat Selangor akan bercakap mengenainya sepanjang musim — Asmawi Bakiri

BACA LAGI: [VIDEO] JDT, KL City nyaris jadi mangsa amukan Buriram tapi Sabah, Kelantan lebih bernasib malang

Osmar menjadikan kelab Thailand itu pencabar dengan hanya memerlukan tempoh singkat. AFC

Tidak cukup dengan itu, pasukan tersebut turut menjadi satu-satunya kelab Asia Tenggara yang melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite.

Kejayaan tersebut ditempa selepas Buriram United menyingkirkan gergasi bola sepak tempatan, Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam pusingan 16 pasukan terakhir.

Malah, rekod Osmar Loss ketika berdepan skuad Harimau Selatan juga cukup baik kerana daripada empat pertembungan, pasukan Thailand itu mencatatkan dua kemenangan dan dua keputusan seri.

Ini membuktikan jurulatih berusia 50 tahun terbabit mempunyai pendekatan berani untuk menundukkan kelab Selatan tanah air berkenaan meskipun tidak begitu lama terlibat dalam arena bola sepak di Asia Tenggara.

Kualiti berkenaan perlu disedari pencabar utama JDT dalam negara, Selangor FC yang kali terakhir menumpaskan juara 11 kali berturut-turut Liga Super itu pada 2017.

Skuad Gergasi Merah kini dikendalikan Gamel susulan pemergian Kinoshi. Facebook/Selangor FC

Dalam pertembungan awal musim lalu, skuad Gergasi Merah ditundukkan skuad Harimau Selatan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor menerusi keputusan 0-3..

Sekiranya mereka mahu muncul pencabar utama, pelaburan besar perlu dibuat pihak pengurusan untuk melantik Osmar Loss yang masih belum diketahui masa depannya ketika ini.

Selangor FC kini dikendalikan Christophe Gamel yang memegang jawatan jurulatih interim selepas Katsuhito Kinoshi direhatkan susulan prestasi tidak memberangsangkan.

Untuk rekod, Osmar Loss pernah membimbing pelbagai kelab lain dalam karier kejurulatihannya, termasuk Corinthians dan Juventude di negara kelahirannya serta Persepolis di Iran.

Rekod kejuaraannya juga amat memberangsangkan kerana pernah menjuarai dua gelaran Liga Iran serta dan empat trofi di Thailand yang menceritakan kualiti dimiliki jurulatih terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram