
KETIKA diumumkan bahawa skuad antarabangsa Uruguay akan beraksi di Malaysia bulan lalu, peminat amat teruja untuk menyaksikan pasukan dari Amerika Selatan tersebut.
Selain mempunyai reputasi gah di tahap tertinggi, negara tersebut dibarisi bintang-bintang ternama yang kini beraksi di Eropah seperti Manuel Ugarte bersama Manchester United serta bekas penyerang Liverpool, Darwin Nunez.
Pengumuman tersebut sekali gus membuatkan ramai tertarik untuk hadir memberi sokongan meskipun terpaksa berbelanja besar bagi memperoleh tiket perlawanan.
BACA LAGI: Tiket serendah RM50 mula dijual bagi aksi Uruguay di Malaysia
BACA LAGI: ‘Harimau Malaya sibuk’, ada misi lebih penting punca Malaysia tidak diuji Uruguay
Harapan peminat tempatan menyaksikan Ugarte (kiri) dan Nunez tidak kesampaian. — Agensi
Bagaimanapun, selepas Uruguay memperkenalkan barisan pemain, kemeriahan itu mula luntur kerana pengendali, Marcelo Bielsa hanya membawa pemain yang kurang dikenali.
Ini kerana jurulatih berpengalaman itu berpandangan dua perlawanan persahabatan tersebut sebagai medan untuknya memilih baki pemain untuk ke Piala Dunia tahun depan.
Kesan dari keputusan terbabit menyaksikan jumlah penjualan tiket semakin berkurang sehingga memaksa pihak penganjur menurunkan harga seperti mana dinyatakan pada Khamis.
“Semua warga Malaysia daripada penyokong-penyokong setia bola sepak hingga keluarga-keluarga dan peminat-peminat biasa amat dialu-alukan untuk hadir bersama dan mengalami momen bersejarah bola sepak antarabangsa ini di bumi Malaysia.
“Sokongan peminat sentiasa menjadi kuasa pemacu di balik acara-acara kami. Sebagai satu tanda muhibbah dan penghargaan, harga tiket dikaji semula bagi menjadikan perlawanan ini lebih mudah dihadiri keluarga peminat bola sepak,” kata jurucakap rasmi pihak penganjur.
Uruguay hanya memanggil pemain kurang dikenali dalam kedua-dua perlawanan itu. — Instagram/AUF
Uruguay dijadualkan berdepan Dominician Republic di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jumaat sebelum berkunjung ke Stadium Hang Jebat, Melaka pada Isnin depan untuk bertemu Uzbekistan.
Meskipun tiada nama-nama besar, Bielsa masih memanggil barisan pemain berbakat besar seperti bek Wolverhampton Wanderers, Santiago Bueno serta Rodrigo Zalazar yang kini bersama Braga di Portugal.
Kehadiran mereka sedikit sebanyak memberi platform untuk Uruguay mengecapi kemenangan dalam kedua-dua perlawanan terbabit dalam usaha meningkatkan lagi kedudukan dalam ranking FIFA.
Menurut kenyataan itu lagi, peminat yang membeli tiket sebelum pengumuman tersebut berhak mendapat pulangan wang penuh, manakala yang baharu, tiket-tiket yang dipinda harganya boleh didapati bagi menggalakkan penyertaan umum yang lebih luas.
Semakan di laman sesawang Ticket Hotline ketika ini mendapati harga tiket adalah serendah RM30 dengan ia adalah jauh lebih rendah berbanding RM50 diumumkan sebelum ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram