SNBJ, SSI jadi venue Harimau Malaya lawan Singapura dan Palestin


  • Podium
  • Isnin, 18 Ogos 2025

Skuad kebangsaan akan turun menentang Singapura pada 4 September di SNBJ sebelum melayan cabaran Palestin di SSI. — Facebook/MalaysiaNT

STADIUM Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur dan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Iskandar Puteri, Johor dipilih sebagai gelanggang rasmi perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 melibatkan skuad Harimau Malaya pada September depan.

Mengikut jadual yang diumumkan, anak buah Peter Cklamovski akan turun menentang Singapura pada 4 September, pukul 9 malam di SNBJ sebelum melayan cabaran Palestin pada 8 September pada waktu sama di SSI.

"Jadual Perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 telah ditetapkan. Pasukan kebangsaan kita akan beraksi dalam dua perlawanan bertaraf tinggi di dua venue berbeza, sebagai persiapan penting menjelang kejohanan akan datang. Jumpa anda di sana," tulis akaun rasmi skuad kebangsaan, Malaysia NT pada laman Facebook.

BACA LAGI: Saya banyak belajar sejak mereka sertai Harimau Malaya — Arif Aiman

BACA LAGI: Kelab enggan lepas bintang warisan, Harimau Malaya terpaksa tarik diri Piala CAFA 2025

Pemilihan Singapura dan Palestin adalah alternatif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas sebelum ini skuad kebangsaan memilih untuk menarik diri daripada kejohanan Piala Negara-Negara Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) 2025.

Sebelum ini, badan induk itu mengumumkan Harimau Malaya tidak akan beraksi pada saingan CAFA susulan perubahan terkini terhadap tarikh penganjuran yang jatuh di luar jendela antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Menurut FAM, ia telah menimbulkan cabaran besar dari sudut logistik, ketersediaan pemain, dan tahap kesiapsiagaan skuad secara keseluruhan.

Terdahulu, Cklamovski menjelaskan pemilihan Singapura dan pasukan di ranking 98 dunia, Palestin itu dipercayai mampu memberikan cabaran serta pengalaman berguna kepada skuad negara menjelang kempen kelayakan Piala Asia 2027 pada Oktober dan November ini.

Skuad negara akan menentang Laos pada 9 dan 14 Oktober diikuti pertembungan dengan Nepal pada 18 November bagi aksi kelayakan Piala Asia 2027 sebelum melengkapkan aksi Kumpulan F berdepan Vietnam pada 31 Mac tahun depan.

Pertemuan menentang Singapura dijangka berlangsung sengit memandangkan kedua-dua pasukan memiliki rekod perseteruan klasik di rantau ini, manakala aksi menentang Palestin bakal menguji ketahanan fizikal dan taktikal skuad negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram