
SELEPAS menempuhi aksi persahabatan menentang Singapura, Harimau Malaya akan hadapi sebuah lagi ujian pada Isnin depan apabila mereka bakal bertemu Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.
Perlawanan tersebut akan menyajikan ujian besar buat skuad kebangsaan kerana lawan dari Timur Tengah itu berada di tangga ke-98 dunia yang menceritakan kekuatan pasukan.
Meskipun anak-anak buah Peter Cklamovski mempunyai kualiti tersendiri, pertembungan dengan pasukan dari rantau tersebut kerap kali memberi kekecewaan buat negara.
BACA LAGI: SNBJ, SSI jadi venue Harimau Malaya lawan Singapura dan Palestin
BACA LAGI: FAM belum umum, kelab Sepanyol sudah sahkan bintang warisan perkuat 2 aksi 'friendly' Harimau Malaya
Malah, rekod pertemuan menentang Palestin juga tidaklah begitu baik kerana kedua-dua perlawanan melibatkan dua negara itu pada 2015 berakhir dengan kekalahan 0-6.
Aksi yang dimaksudkan ialah pertembungan di peringkat kumpulan Kelayakan Piala Dunia 2018 yang merencatkan sebarang harapan Harimau Malaya ke kejohanan berprestij itu.
Keputusan sedemikian tentu diharapkan mampu berubah kerana skuad kebangsaan memerlukan kemenangan dalam usaha memperbaiki kedudukan dalam ranking FIFA.
Namun, sekiranya mengalami kekalahan di Selatan tanah air, peminat sudah tentu mengharapkan perlawanan berdepan Palestin berkenaan mampu menghadiahkan momen sukar dilupakan.
Contoh terbaik boleh dikatakan berlaku pada 2013 apabila pasukan Timur Tengah itu beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang Harimau Malaya di Stadium Darul Makmur, Pahang.
Syihan beraksi buat skuad kebangsaan ketika berdepan Palestin.
Aksi itu diadakan sebagai tanda solidariti buat Palestin yang ketika itu mengalami serangan bertali-arus daripada rejim Zionis sehingga mengakibatkan kehancuran dan ribuan nyawa terkorban.
Berbaki kesungguhan itu, pasukan itu memberi asakan terhadap kubu Harimau Malaya sehingga menyaksikan dua gol berjaya dijaringkan, termasuk satu menerusi sepakan percuma.
Tetapi, kekalahan lebih teruk boleh dialami skuad kebangsaan yang bagaimanapun tidak dibolosi kali ketiga pada masa tambahan apabila penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi bertindak cemerlang menepis sepakan penalti.
Dia yang dimasukkan sebagai pemain gantian berjaya menafikan tendangan pemain lawan dengan tepisan itu menyaksikan namanya mula mekar di bibir peminat bola sepak negara.
Manakan tidak, dia yang hanya berusia 16 tahun ketika itu bijak membaca sepakan pihak lawan untuk memastikan keputusan kekal 0-2 yang tidaklah begitu melukakan hati.
Syihan kembali menghidupkannya apabila menyertai PJ City FC.
Syihan ketika itu tidaklah begitu dikenali kerana baru setahun jagung dalam dunia bola sepak dengan tiada sebarang penampilan kompetitif dicatatkan di peringkat kelab.
Namun, perlawanan persahabatan itu membantu memperkenalkan peminat dengan 'ubi muda' tersebut yang mampu menjadi barisan pertahanan terakhir Harimau Malaya.
Karier Syihan kemudiannya mengalamis sedikit tamparan apabila 2018, dia yang berada dalam skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara disahkan positif mengambil bahan terlarang.
Dia yang disahkan gagal dalam ujian doping kemudian digantung 20 bulan berdasarkan Artikel 6 Peraturan Anti-Doping daripada terbabit dalam sebarang aktiviti.
Keputusan menyertai JDT meletakkan Syihan sebagai penjaga gol terbaik negara ketika ini.
Bagaimanapun, Syihan tidak berputus asa apabila kariernya mula meningkat, lebih-lebih lagi di peringkat kelab apabila dia beraksi cemerlang buat semua pasukan.
Ini dimulakan dengan Petaling Jaya (PJ) City FC dan kemudian ke Negeri Sembilan FC yang membuka mata orang ramai mengenai potensi dimilikinya.
Kecemerlangan dan konsistensi ditonjolkan menyaksikannya menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 2023 dengan pasukan itu meningkatkan lagi tahap permainannya.
Ini membuktikan pendedahan diterima semasa berdepan Palestin pada 2013 seawal usia 16 tahun menjadikannya antara penjaga gol terbaik pernah disaksikan negara. —Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram