
STADIUM Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur dan Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor bakal menjadi gelanggang rasmi perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 skuad Harimau Malaya pada September ini.
Mengikut jadual yang ditetapkan, pasukan bimbingan Peter Cklamovski akan berdepan Singapura pada 4 September, pukul 9 malam di SNBJ, sebelum menentang Palestin pada 8 September di SSI, juga pada waktu sama.
Pemilihan kedua-dua lawan itu dibuat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai alternatif selepas skuad negara menarik diri daripada saingan Piala Negara-Negara Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) 2025.
BACA LAGI: SNBJ, SSI jadi venue Harimau Malaya lawan Singapura dan Palestin
BACA LAGI: Kelab enggan lepas bintang warisan, Harimau Malaya terpaksa tarik diri Piala CAFA 2025
Melihat kepada pemilihan dua stadium itu sebagai venue, penyokong juga berhasrat untuk menyaksikan stadium negeri lain menjadi 'rumah sementara' Harimau Malaya bagi perlawanan antarabangsa lain.
Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Zulakbal Abd Karim berkata, SNBJ sememangnya menjadi gelanggang keramat buat skuad negara, namun tidak semua perlawanan mampu dilangsungkan di venue utama itu kerana faktor kekosongan stadium serta kegunaan lain.
“Kalau boleh memang semua orang mahu melihat Harimau Malaya beraksi di Bukit Jalil, kerana ia stadium bersejarah dan mudah diakses rakyat. Tetapi ada masanya ia digunakan untuk acara lain, jadi FAM perlu mempertimbangkan opsyen venue berbeza.
"Kita mahu kalau boleh semua perlawanan bermain di Bukit Jalil. Kerana ia adalah gelanggang keramat Harimau Malaya sejak Bukit Jalil tu wujud. Sudah tentu rakyat ingin melihat gelanggang keramat itu digunakan," katanya kepada Majoriti.
Mengulas kelebihan bermain di pelbagai lokasi, Zulakbal menjelaskan ia boleh memberi pendedahan kepada pemain terhadap suasana berbeza, termasuk jenis padang, sokongan penyokong tempatan dan suasana lawan.
Menurut Zulakbal, pengalaman sebegitu akan membentuk pasukan yang lebih profesional dan bersedia beraksi dalam apa jua keadaan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tiga faktor utama perlu diteliti sebelum stadium luar Bukit Jalil dipilih, iaitu tahap persediaan padang, kualiti kemudahan seperti bilik persalinan dan bilik pengadil, serta jaminan kehadiran penyokong yang mampu mengisi venue.
"Kalau stadium di Pulau Pinang, Kedah, Terengganu atau Kelantan mahu jadi tuan rumah, kena pastikan padangnya setanding dengan Bukit Jalil atau Johor. Kemudahan asas juga mesti cukup, kalau belum, pihak berkuasa stadium kena lakukan penambahbaikan terlebih dahulu.
"Kalau nak buat boleh atas permintaan penyokong tapi bolehkah dijamin penyokong penuh datang? Jika fasiliti masih belum memuaskan, bolehlah minta mereka upgrade padang menjadi seperti Bukit Jalil atau SSI," jelasnya.
Beliau menambah, meskipun bermain di pelbagai venue ada kelebihan tersendiri, perlawanan rasmi skuad Harimau Malaya wajar dikekalkan di stadium utama iaitu SNBJ agar identiti dan tradisi pasukan terus terpelihara.
Selain SSI dan SNBJ, skuad kebangsaan sebenarnya pernah bermain aksi persahabatan se antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada 2023.
Ketika perlawanan itu, Harimau Malaysia berpesta gol selepas membelasah Papua New Guinea 10-0 menerusi empat gol Arif Aiman Hanapi, hatrik Paulo Josue, dan Daniel Ting, Faisal Halim serta Safawi Rasid masing-masing mencatat nama sebagai penjaring. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram