
NAMA penyerang Singapura, Ilhan Fandi kembali meniti di bibir penyokong selepas pemain berkenaan menjaringkan gol tunggal dalam perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur pada Khamis.
Tidak dinafikan gol dari Ilhan itu tidak dapat memberi kemenangan kepada seteru Seberang Tambak berkenaan, tetapi impak diberikan pemain berusia 22 tahun berkenaan menjadi topik penyokong dua negara.
Ilhan yang dimasukkan pada separuh masa kedua berjaya mencipta memori indah pada minit ke-72 apabila rembatan cantik dari luar kotak penalti pemain tinggi lampai itu berhasil menewaskan penjaga gol Harimau Malaya, Haziq Nadzli.
BACA LAGI: Belum beraksi Liga Super, bintang muda Selangor antara yang diberi kepercayaan Nafuzi
BACA LAGI: Terus tumpul depan gol, sampai bila pertahanan Selangor harus ‘ikat jamin’ Willian Lira?
Gol tunggal itu membuktikan bahawa anak bongsu Fandi itu tampil penuh yakin di pentas besar dan berani menundukkan benteng Harimau Malaya meskipun beraksi di depan puluhan ribu penyokong lawan.
Menariknya, Ilhan bukan nama asing buat peminat bola sepak tempatan berikutan Selangor FC pernah dikaitkan dengan usaha membawanya masuk bagi memperkuatkan jentera serangan Merah Kuning.
Sejak musim 2023, penyokong Selangor mengidam untuk menyaksikan pemain berketinggian 1.83 berkenaan menyarung jersi Gergasi Merah tetapi, perpindahan itu tidak menjadi kenyataan apabila Ilhan memilih untuk meneruskan kariernya di Liga Thailand bersama Buriram United.
Persoalan turut timbul dalam kalangan penyokong skuad Lembah Klang berkenaan, mengapa Selangor yang sudah lama menaruh minat masih belum menyambar Ilhan untuk beraksi di Liga Malaysia.
Tidak sampai 2 minit dibawa masuk sebagai pemain gantian, Ilhan Fandi mengejutkan penjaga gol Malaysia, Haziq Nadzli dengan rembatan deras untuk jaringan gol pertama Singapura !
Saksikan perlawanan di Astro Arena Bola, Astro One & Sooka#HarimauMalaya #MASSGP pic.twitter.com/tMlRnG01VJ
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) September 4, 2025
Antara faktor sering dibincangkan ialah kecenderungan pengurusan skuad Gergasi Merah apabila lebih memilih penyerang import dari Amerika Latin yang dianggap sudah terbukti di Liga Malaysia.
Pemain dari rantau berkenaan sering menjadi taruhan kerana mempunyai rekod jaringan konsisten, berbanding memberi peluang kepada bakat muda Asean yang masih dalam proses perkembangan.
Selain itu, faktor kurang minit permainan bersama kelab Thailandnya juga menjadi pertimbangan. Musim ini sahaja Ilhan dipinjamkan kepada Buriram United scara pinjaman daripada BG Pathum demi meraih minit permainan.
Ilhan kini bermain bersama Buriram United. — Instagram/IlhanFA
Walaupun memiliki bakat besar, Ilhan masih belum benar-benar menonjol secara konsisten di pentas kelab profesional, sekali gus membuatkan pengurusan Selangor lebih berhati-hati sebelum melakukan sebarang pelaburan besar.
Bagi sebahagian penyokong Selangor, peluang untuk mendapatkan Ilhan masih terbuka, malah ada yang berpendapat Gergasi Merah perlu lebih berani melabur pada bakat muda Asean kerana ia selari dengan peraturan kuota pemain serantau Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Dengan usia yang masih muda, Ilhan berpotensi untuk berkembang dan mungkin menjadi aset jangka panjang buat kelab. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram