Tiket serendah RM50 mula dijual bagi aksi Uruguay di Malaysia


  • Podium
  • Khamis, 25 Sep 2025

Uruguay akan datang beraksi di Malaysia pada Oktober ini.

PEMINAT bola sepak antarabangsa di Malaysia berpeluang untuk menyaksikan aksi bintang kesayangan mereka apabila Uruguay bertandang ke negara ini.

Uruguay yang dijangka akan dikuatkan oleh pemain berkelas dunia seperti Federico Valverde, Darwin Nunez dan Manuel Ugarte bakal melakukan kelainan apabila mereka mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa mereka di Malaysia dengan bertemu Uzbekistan dan Republik Dominika.

Aksi bertemu Republik Dominika adalah pada 10 Oktober di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur sementara perlawanan menentang Uzbekistan dijadualkan tiga hari kemudian dekat Stadium Hang Jebat, Melaka.

BACA LAGI: ‘Harimau Malaya sibuk’, ada misi lebih penting punca Malaysia tidak diuji Uruguay

BACA LAGI: ‘Ini baru permulaan’, wakil Uruguay harap dapat jumpa Malaysia

Wakil penganjur iaitu Cohesion Prima, Datuk K. S. Lai berkata, penganjuran aksi melibatkan juara Piala Dunia dua kali itu merupakan pencapaian baharu dalam sejarah bola sepak Malaysia.

"Ia tidak akan ada tarikh lain selain itu. Ia adalah pencapaian buat bola sepak Malaysia. Keputusan Uruguay untuk beraksi di sini adalah sebagai tanda setuju kepada semangat bola sepak di rantau ini.

"Kami mahukan setiap peminat bola sepak di seluruh Asia Tenggara akan menjadi sebahagian daripada malam yang tidak dapat dilupakan ini," ujarnya.

Tiket kini sudah mula dijual dengan harga bermula daripada RM50 sehingga ke RM1,500 bagi pakej VVIP.

Penyokong yang membeli tiket VIP akan mendapat beberapa kelebihan seperti akses eksklusif, tempat duduk premium, serta cenderahati pada hari perlawanan.

Bagi pembeli tiket semua kategori turut berpeluang untuk mendapatkan akses kepada cenderamata terhad serta barangan koleksi yang hanya dijual pada hari perlawanan.

Kesemua tiket itu boleh dibeli menerusi tickethotline.com.my. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram