
PENDUDUK di Pangsapuri Sri Meranti, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, Selangor meluahkan rasa tidak puas hati terhadap sekumpulan pelajar yang didakwa sering mengganggu ketenteraman kawasan perumahan.
Menerusi hantaran di Facebook penduduk kawasan perumahan itu, pemilik akaun iaitu Haziyah Mohamood mendakwa sekumpulan pelajar itu melepak, membuat bising serta merokok di tempat letak motosikal setiap pagi.
Wanita berkenaan jelas kecewa dengan sikap pelajar-pelajar dipercayai dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Sri Damansara 2 yang didakwa berulang kali melakukan perbuatan sama walaupun sudah ditegur sejak beberapa tahun lalu.
BACA LAGI: Misteri identiti mayat terapung ditemukan dekat tali air, cetus tanda tanya warga Seberang Perai
BACA LAGI: UTP-UM kini antara 5 universiti Malaysia berada ranking terbaik di dunia
Menurutnya, kumpulan pelajar terbabit biasanya tiba seawal pukul 6.40 pagi di kawasan parkir Blok G4 sebelum masuk ke sekolah, namun memilih untuk melepak sambil membuat bising walaupun loceng sekolah telah berbunyi.
"Melepak di kawasan parkir dengan membuat bising, tidak masuk ke kawasan sekolah walau loceng dah berbunyi dan teruskan melepak. Menghisap rokok dan pod. Tiap pagi hidu asap rokok melalui tingkap," katanya.
Dalam hantaran sama, wanita itu juga mendakwa bahawa kumpulan pelajar berkenaan terdiri daripada enam orang atau lebih dan ada antaranya dikatakan bertindak biadab apabila ditegur.
Tangkap layar hantaran dari penduduk Pangsapuri Sri Meranti.
"Yang berbaju hitam (naik motor merah nombor pendaftaran W** ****) tekan minyak kuat-kuat selepas ditegur, manakala yang lain pula menjerit seolah-olah memprotes," jelasnya.
Haziyah turut memaklumkan bahawa aduan rasmi telah dihantar kepada pihak sekolah melalui e-mel, namun tidak pasti sama ada ia diterima atau diambil tindakan kerana masalah itu dilihat masih berulang setiap hari.
Penduduk di kawasan tersebut berharap pihak sekolah dan pihak berkuasa tempatan dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman komuniti tidak terus terganggu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram