
NAMA atlet muay thai muda negara, Johan Ghazali atau turut dikenali sebagai Jojo kian disanjung peminat seni mempertahankan diri negara setelah meraih pelbagai kejayaan dalam gelanggang.
Dia yang baru berusia 18 tahun sudah mencatatkan tujuh kemenangan daripada 10 perlawanan dalam saingan One Championship, termasuk satu kemenangan menerusi total knockout (TKO).
Kejayaan demi kejayaan dikecapi sekali gus menjadikan atlet berusia 18 tahun itu semakin dikenali dan secara tidak langsung menaikkan nama Malaysia dalam sukan terbabit di peringkat antarabangsa.
BACA LAGI: 'Dia memang lahir dengan gaya 'swagger', ibu Johan Ghazali nafi anak makin sombong lepas popular
Johan yang baru berusia 18 tahun sudah berjaya menempa nama dalam dunia muay thai. — Agensi
Menyedari sumbangan dibuat itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjemput Jojo serta ahli keluarga untuk menyampaikan rasa penghargaan terhadap pengorbanan dicurahkan dalam gelanggang.
Beliau dalam hantaran di laman sosial mengagumi keazaman, disiplin serta semangat juang ditonjolkan atlet muay thai tersebut kerana ia mencerminkan nilai sebenar anak tempatan.
"Lebih membanggakan, saudara Jojo turut aktif menyuarakan pandangan dan menyertai kempen kesedaran bagi membanteras budaya buli serta menyuntik inspirasi kepada anak muda untuk membina keyakinan diri, keteguhan jati diri dan semangat positif dalam kehidupan seharian.
"Saya yakin dengan semangat dan dukungan berterusan, lebih ramai atlet muda akan lahir untuk mengharumkan nama negara di persada dunia," kata Anwar.
Pertemuan itu turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli serta beberapa individu lain yang masing-masing sudah tentu berbangga akan impak dibawa Johan dalam negara.
SAC Zulfikar (tengah) hadir ketika pertemuan Johan bersama Perdana Menteri. — Facebook/Anwar Ibrahim
Perdana Menteri turut berharap agar komitmen dan kesungguhan ditampilkan Jojo berterusan bagi menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda untuk terus melakukan sumbangan terhadap negara.
Hantaran itu kemudian dikongsikan berkali-kali di media sosial dengan orang ramai kelihatan kagum melihat Johan serta ahli keluarganya, terutama bapanya yang hadir dengan mengenakan uniform lengkap.
"Jarang-jarang dapat tengok gambar bapa Jojo beruniform, mesti ramai yang baru pertama kali tengok bukan? Senior Asisten Komisioner Polis (SAC) Zulfikar Mohd Ghazali yang kini bertugas sebagai Komandan Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuching," tulis Friends of PDRM.
"Memang perlu anggota keselamatan sentiasa cergas walaupun di mana-mana tahap dan tidak semestinya hanya anggota dalam unit khas sahaja perlu kelihatan cergas dan berbadan ideal. Contohnya, bapa Jojo seperti tidak dimakan usia akan datang mesti akan jadi Ketua Polis," kata Sinding Bungkau.
Selain bapanya, datuk kepada atlet muay thai tersebut, Allahyarham Jeneral (B) Tan Sri Ghazali Che Mat juga terlibat dalam badan berunfiorm tanah air apabila pernah memegang jawatan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (PAT).
Ini sekali gus mencerminkan tahap disiplin Jojo yang mampu berjaya dalam sukan terbabit kerana tunjuk ajar dua figura penting dalam hidupnya amat mementingkan aspek terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram