
PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz tampak enggan mengulas lanjut mengenai tiga pemain warisan Harimau Malaya yang beraksi bersama kelab itu dan dikenakan penggantungan 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Namun, jelas pengendali berusia 45 tahun itu, Harimau Selatan kini mengalihkan tumpuan sepenuhnya kepada aksi untuk meraih kemenangan pertama dalam Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) bertemu gergasi Jepun, Machida Zelvia di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada Selasa.
Seperti sedia maklum, FIFA mengenakan hukuman kepada tujuh tonggak skuad kebangsaan termasuk tiga sandaran utama Harimau Selatan, Jon Irazabal, Hector Hevel dan Joao Figueiredo atas dakwaan pemalsuan dokumen sebelum mereka menyarung jersi Harimau Malaya.
BACA LAGI: [VIDEO] Abang Jojo tumbangkan lawan menerusi TKO, tunjuk skil lengkap 'elbow war'
BACA LAGI: Usah bimbang fans JDT, 3 pilihan sedia ada boleh pikul tugas bintang digantung FIFA
Perkara tersebut dikongsikan oleh pemerhati sukan tanah air, Zulhelmi Zainal Azam di laman X pada Isnin.
"Kami memberi tumpuan sepenuhnya kepada pemain yang sedia ada,” kata Xisco Munoz mengenai status Figueiredo, Irazabal dan Hevel ketika ditanya dalam sidang media praperlawanan.
Terdahulu, FAM dan tujuh pemain warisan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
FIFA dalam kenyataannya memaklumkan, FAM didapati menyerahkan dokumen dipalsukan dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi.
Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel yang beraksi buat skuad kebangsaan dalam dua perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram