
JAGUH Muay Thai Filipina-Amerika, Sean Climaco tampil mencuri perhatian apabila secara terbuka mencabar bintang muda sensasi negara, Johan Ghazali atau lebih dikenali sebagai Jojo, untuk bertarung dalam pentas ONE Championship.
Climaco yang kembali bersemangat selepas berehat seketika daripada gelanggang menegaskan dia telah menambah baik prestasi sejak pertarungan terakhirnya dan kini bersedia menebus diri.
"Saya sudah bekerja keras dalam diam untuk melakukan penambahbaikan. Halangan kecil ini tidak akan menghentikan saya. Saya berenang bersama jerung, bertarung dengan yang terbaik di dunia, dan saya layak berada di sini," katanya.
BACA LAGI: Hanya perlu 2 minit, Jojo Ghazali tumpaskan Zakaria El Jamari menerusi KO
BACA LAGI: Pengorbanan ibu rahsia kejayaan, Johan Ghazali hadiahkan jam Rolex dari hasil ganjaran kemenangan
Dalam hantaran di media sosial, Climaco turut memuji aksi knockout (KO) mengejutkan yang dilakukan Johan pada hujung minggu lalu, namun pada masa sama menganggap kini waktu terbaik untuk kedua-dua mereka dipertemukan.
"Saya lapar dan mahu bertarung lagi sebelum hujung tahun ini. Hormat buat Jojo atas KO minggu lepas. Kami berkongsi lawan yang sama dalam ONE dan sama-sama suka buru KO, saya rasa sudah tiba masanya kami bertemu. Mari hadiahkan penyokong dengan fireworks," tulisnya.
Sebelum ini, Jojo kembali ke landasan kemenangan selepas berjaya menewaskan lawan dari Maghribi, Zakaria El Jamari dalam pertarungan ONE Championship pada 6 September lepas dengan keputusan KO dalam masa dua minit.
Dengan corak tipikal Johan, atlet sukan tempur negara berusia 18 tahun berkenaan terus memberikan serangan bertali arus kepada El Jamari sebaik sahaja pertarungan itu dimulakan.
Jojo yang menggunakan teknik sepakan terlebih dahulu sebelum menggunakan kombinasi tumbukan untuk menyerang El Jamari, lawannya itu hanya mampu untuk bertahan sebelum akhirnya tumbang selepas dua minit pertarungan berlangsung pada pusingan pertama.
Lawannya itu jelas cuba untuk membantah keputusan pengadil selepas memberikan kemenangan kepada Jojo, namun ia adalah muktamad dan kemenangan memihak atlet tempur negara.
Prestasi semasa itu pastinya menyebabkan pertarungan antara Johan dan Climaco dijangka menjadi tumpuan penyokong sekiranya direalisasikan, memandangkan kedua-duanya terkenal dengan gaya agresif dan rekod kemenangan melalui KO.
Ia bukan sahaja bakal menghidupkan lagi saingan dalam divisyen Muay Thai, malah menjadi pentas untuk menguji sejauh mana anak muda Malaysia itu mampu menyaingi pengalaman dan ketajaman lawan berdarah Filipina-Amerika tersebut.
ONE Championship setakat ini belum mengesahkan sebarang pertemuan rasmi antara kedua-dua petarung, namun desakan daripada Climaco pastinya memberi isyarat bahawa peminat Muay Thai boleh menantikan satu lagi pertarungan berprofil tinggi menjelang hujung tahun ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram