
PROSPEK sukan muay thai negara, Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar meraih pingat emas di pentas Kejuaraan Remaja Dunia Persatuan Persekutuan Muay Thai Antarabangsa (IFMA) 2025 Pusat Pameran Nasional Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Khamis.
Atlet sukan tempur berusia 16 tahun itu mempersembahkan aksi cemerlang ketika bertanding dalam kategori junior 15 hingga 16 tahun lelaki bawah 63.5 kilogram (kg).
Dia yang turut mesra disapa Miki berjaya menumbangkan lawan dari Australia, Lincoln Davis selepas pengadil menghentikan pertarungan atas faktor keselamatan pada pusingan ketiga ketika wakil negara itu mendahului mata 20-18.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya gembira harumkan nama Malaysia', Miki Ghazali tumbangkan lawan lebih tua 16 tahun
BACA LAGI: Hanya perlu 2 minit, Jojo Ghazali tumpaskan Zakaria El Jamari menerusi KO
Kejayaan tersebut menobatkan Miki sebagai juara dan mengubat kedukaannya yang sebelum ini tersingkir di peringkat suku akhir kategori Junior 16–17 lelaki bawah 60kg.
Dalam perlawanan terdahulu, petinju tersebut dikecewakan lawan dari Tunisia, Saif Eddin Babay yang berlangsung kira-kira sehari sebelum aksinya menentang Davis.
Kemenangan itu turut membuktikan kemampuan dan semangat juang tinggi yang ditunjukkan oleh petarung muda berkenaan dalam memburu kejuaraan.
Dengan kejayaan terbabit, ia memberi petanda positif kepadanya untuk terus melakar nama di pentas antarabangsa dan mengharumkan nama negara dalam sukan tempur itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram