
PETARUNG Muay Thai profesional negara, Elias Ghazali mencuri tumpuan peminat sukan tempur selepas meraih kemenangan bergaya menerusi Technical Knockout (TKO) dalam aksi UXR Showdown: Chapter 1 yang berlangsung pada Sabtu.
Bertarung di Stadium SUKPA, Kuantan, Pahang, Elias menampilkan persembahan bertenaga apabila mudah menewaskan petarung dari Lebanon, Rahmoun, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara nama besar dalam arena Muay Thai tanah air.
Elias yang juga abang kepada bintang Muay Thai negara, Johan Ghazali tampil penuh yakin sejak loceng pertama dibunyikan dan berjaya menguasai pentas pertarungan dengan tenang serta tersusun.
BACA LAGI: Usah bimbang fans JDT, 3 pilihan sedia ada boleh pikul tugas bintang digantung FIFA
BACA LAGI: [VIDEO] Jaringan pertama di Jepun, tapi gol ‘backheel’ Dion Cool tak mampu elak kekalahan
Menariknya, Elias tidak terperangkap dengan taktik lawannya yang sering mengguna pakai serangan siku, sebaliknya dia memanfaatkan sepenuhnya kesilapan Rahmoun untuk membuka ruang serangan.
Situasi mula memuncak apabila Elias melancarkan serangan bertalu-talu menggunakan teknik siku secara agresif yang dikenali sebagai ‘elbow war', menyebabkan pihak lawan kehilangan kawalan.
Serangan agresif yang dilancarkan Elias memaksa pengadil menghentikan pertarungan demi keselamatan Rahmoun, sekali gus mengesahkan kemenangan TKO miliknya.
Kemenangan itu sekali gus membuktikan Elias bukan sahaja hebat dari segi fizikal, malah bijak membaca permainan dan kelemahan lawan untuk mencipta peluang.
Dengan kemenangan itu, Elias Ghazali terus menambah rekod cemerlangnya di pentas profesional dan dilihat bersedia untuk terus membawa nama Malaysia lebih jauh dalam sukan Muay Thai antarabangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram