
PEMERHATI sukan tanah air, Datuk Dr. Pekan Ramli menzahirkan kebimbangan terhadap kemelut skandal pemain warisan yang melanda bola sepak tanah air, susulan tindakan drastik Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ke atas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berikutan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA.
Tujuh pemain warisan terbabit ialah Hector Hevel, Jon Irazabal, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Imanol Machuca, Rodrigo Holgado dan Facundo Garces yang kini berdepan penggantungan dan tidak dibenarkan beraksi untuk kelab masing-masing, mencetuskan perdebatan besar dalam arena bola sepak tempatan.
Menurut Datuk Dr. Pekan, setakat ini, sebarang keputusan FIFA masih tidak berubah kerana FAM difahamkan masih belum mengemukakan rayuan terhadap hukuman itu kerana masih menunggu butiran lanjut dokumen.
BACA LAGI: FAM akui wujud kesilapan teknikal staf pentabiran, tapi sahkan 7 pemain digantung rakyat Malaysia
BACA LAGI: Skandal pemain warisan: Indonesia nafi terlibat dalam sekatan FIFA terhadap FAM
Pemerhati sukan tanah air Datuk Dr Pekan Ramli.
Tambahnya, badan induk bola sepak tempatan itu kini masih menunggu butiran lengkap penghukuman daripada FIFA sebelum memutuskan langkah selanjutnya.
"Ini penting bagi FAM mengetahui secara lebih jelas butiran terhadap pemalsuan dokumen yang dikenakan oleh FIFA untuk badan bola sepak negara mengkaji adakah terdapat ruang-ruang atau asas-asas kukuh untuk FAM mengemukakan rayuan nanti.
"Ibarat kalau kita nak berperang atau mencabar FIFA, kita perlu ada lebih banyak senjata dan peluru yang lebih hebat dari badan induk utama bolasepak dunia itu. Ibaratnya, kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga," katanya kepada Majoriti.
Sebelum ini, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman memaklumkan bahawa tiada perkembangan terkini mengenai isu penggantungan oleh FIFA.
FAM kini menunggu dokumen penuh keputusan penghakiman tersebut dan hanya akan memulakan rayuan apabila dokumen lengkap diterima sambil menegaskan bahawa sebarang kenyataan atau maklumat lanjut tidak akan dikeluarkan sehingga proses rayuan selesai sepenuhnya.
Tujuh pemain warisan Harimau Malaya digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan. — Facebook
Mengulas lanjut, mengenai nasib tujuh pemain yang kini digantung, Dr. Pekan berkata, isu tersebut bukan sahaja mencemarkan imej negara, tetapi juga memberi kesan langsung terhadap kebajikan dan masa depan pemain-pemain terbabit.
"Memang imej kita sudah tercalar apatah lagi apabila kita menuduh negara lain sebagai punca kita dikenakan hukuman ini. Hakikatnya pula sebenarnya kesilapan itu diakui dilakukan oleh kita sendiri.
"Sekarang ini kita tidak boleh duduk diam menyesali diri. Kalau rasa kita tak bersalah teruskan perjuangan membuat rayuan hingga ke peringkat terakhir.
"Pada waktu yang sama kita perlu bertanggungjawab terhadap tujuh pemain warisan tersebut. Kebajikan mereka mesti dijaga, mereka perlu terus hidup dan bermain bola sepak pada waktu digantung dan juga selepas itu nanti," ujarnya.
Dr. Pekan turut mengingatkan agar sebarang janji yang pernah dibuat kepada pemain-pemain warisan tersebut sebelum mereka bersetuju menyertai skuad kebangsaan perlu ditepati.
"Kalau ada janji-janji manis yang dibuat kepada mereka sebelum mereka bersetuju diangkat sebagai pemain warisan, itu mesti kita ditunaikan. Tak kiralah pihak mana yang berjanji dan kita tidak boleh 'baling batu sembunyi tangan'," katanya.
Jon Irazabal dan Joao Figueiredo antara pemain JDT yang dilarang beraksi dalam saingan Liga Malaysia oleh MFL. — Facebook/Malaysia NT
Dalam tempoh penggantungan selama setahun yang disifatkan sebagai agak lama, Dr. Pekan turut mencadangkan agar FAM menyediakan ruang latihan dan sokongan kepada pemain-pemain terlibat.
"Mereka perlu di tempatkan dalam mana-mana kelab untuk meneruskan kerjaya mereka dan mengekalkan tahap kecergasan dan kesihatan mereka.
"Apabila tempoh penggantungan tamat kelab-kelab bola sepak kitalah yang sepatutnya lebih prihatin untuk mengikat kontrak pemain yang menjadi mangsa isu kontroversi ini. Kita harap hukuman ini bukan 'kiamat' kerjaya bola sepak mereka," tegasnya.
Pada masa sama, beliau turut berharap agar insiden berkenaan tidak menjadi noktah buat kerjaya bola sepak pemain-pemain terlibat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram