[VIDEO] Ada masa Ramadhan Saifullah perlu tamak untuk cetak gol — Zaquan Adha


  • Podium
  • Isnin, 06 Okt 2025

Ramadhan semakin menunjukkan taring bersama The Cats dengan empat gol dan empat bantuan jaringan dalam saingan Liga Super musim ini. — Facebook/kuchingcityfc

BEKAS penyerang kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian Ramadhan Saifullah Usman yang dipanggil menyertai kem latihan skuad Harimau Malaya, sambil menitipkan beberapa nasihat penting buat pemain muda itu.

Ramadhan, 24, merupakan antara tiga pemain dari Kuching City FC yang dipanggil oleh Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski menjelang aksi bertemu Laos dalam Kelayakan Piala Asia 2027 Oktober ini.

Bekas pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) itu kini semakin menunjukkan taring selepas menyertai The Cats musim ini dengan rekod cemerlang iaitu empat gol dan empat bantuan jaringan dalam lapan penampilan Liga Super setakat ini.

BACA LAGI: [VIDEO] Lega cetak gol bantu raih kemenangan sulung Harimau Kumbang, mentaliti Kipre wajar jadi ikutan

BACA LAGI: [VIDEO] Tahun lalu rekod tercalar di Selayang, mampukah JDT lepasi ‘roadblock’ PDRM demi musim 100 peratus

Zaquan yang juga bekas kapten Harimau Malaya berkata, prestasi cemerlang Ramadhan di peringkat kelab jelas menunjukkan potensinya, namun masih ada ruang untuk diperbaiki terutama dalam aspek membuat keputusan di atas padang.

“Dari segi membuat keputusan, kadang-kadang dia perlu tamak sedikit, kadang-kadang perlu mengambil keputusan yang mana dia harus menjaringkan gol daripada membuat hantaran.

“Dan itu sebenarnya saya rasa decision making yang harus dibuat dengan betul oleh Ramadhan, saya harap dia dapat membuat keputusan yang baik untuk skuad kebangsaan,” katanya menerusi Nadi Arena.

Tambah Zaquan, panggilan ke kem kebangsaan bukan sahaja satu pengiktirafan terhadap prestasi pemain dalam liga, tetapi juga peluang untuk menimba ilmu dan pengalaman berharga bersama pemain lebih lain.

“Apabila anda dipanggil ke skuad kebangsaan, itu bukti anda ada kualiti. Ramadhan sudah buktikan di liga, menjaringkan gol dan menunjukkan kualiti bersama Kuching City.

"Bermain dalam kesebelasan utama ataupun tidak, itu saya kira bukanlah perkara utama, perkara utama adalah apabila dia harus mendapatkan tempat bersama skuad kebangsaan.

"Dan paling penting bagaimana cara dia hendak menimba ilmu dengan rakan-rakan lain.

“Saya yakin dengan kualiti yang ada, Ramadhan mampu menyumbang sesuatu untuk Harimau Malaya. Paling penting, dia perlu berani dan berjiwa besar,” jelasnya.

Skuad kebangsaan bakal menentang Laos dalam aksi pertama di Stadium New Laos, Vientiane pada 9 Oktober, sebelum aksi timbal balik berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 14 Oktober. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram