Pendidikan bekalan sepanjang hayat, atlet memanah kebangsaan kini mahasiswi kejuruteraan UPM


  • Podium
  • Isnin, 06 Okt 2025

Atlet Memanah Kebangsaan, Nurul Ain Fitri Ramli (dua kiri) membuktikan bahawa kejayaan dalam sukan tidak menghalang cita-cita akademik. — Facebook/UPM

"PENDIDIKAN tinggi tetap menjadi keutamaan walaupun anda seorang atlet elit,” tegas atlet memanah kebangsaan, Nurul Ain Fitri Ramli, 20, yang kini melanjutkan pengajian dalam bidang Bacelor Kejuruteraan Awam dengan Kepujian di Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor.

Anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu berkata, walaupun dunia sukan menawarkan pelbagai peluang dan kejayaan, tempoh penglibatan dalam bidang tersebut tetap terhad, menjadikan pendidikan sebagai asas penting untuk masa depan.

“Jangan sesekali beranggapan jika pencapaian sukan sudah di peringkat tertinggi dan melupakan akademik. Sukan ada tempoh masanya masanya tetapi pendidikan adalah bekalan sepanjang hayat,” katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Kontroversi derby Borneo, Sabah kempunan penalti sebelum gawang dirobek pemain naturalisasi

BACA LAGI: Hero Derby Pantai Timur patut diikat lebih lama Sang Penyu, tapi lain pula kisah Gabriel Silva

Atlet memanah kebangsaan, Nurul Ain Fitri Ramli. Facebook/UPM

Nurul Ain berkata, pemilihan UPM sebagai destinasi pengajiannya turut dipengaruhi oleh reputasi universiti itu yang menjadi pilihan ramai atlet negara.

“Mengambil jurusan kejuruteraan bukanlah sesuatu yang mudah tetapi kerana minat saya akan menempuhi cabarannya.

“Antara faktor saya mengambil program pengajian ini adalah untuk meneruskan legasi syarikat bapa yang kini berdepan masalah kesihatan selepas diserang strok tahun ini,” katanya.

Mula menceburi sukan memanah sejak di bangku sekolah rendah ketika berusia 10 tahun, Nurul Ain kini giat mengimbangi latihan intensif sebagai atlet kebangsaan dengan komitmen akademik di universiti.

“Cabaran mengimbangi latihan dan akademik bukanlah sesuatu yang baharu. Sejak di bangku sekolah lagi saya sudah melalui rutin ini dan saya akan terus kekalkan momentum untuk berjaya dalam kedua-duanya,” katanya.

Sebagai atlet pelapis negara, Nurul Ain turut berhasrat mengharumkan nama UPM di pentas kejohanan berprestij seperti Asian University Games (AUG) dan World University Games (WUG).

Nurul Ain kini meletakkan harapan tinggi untuk terpilih menyertai Kejohanan Memanah Asia (Asian Archery Championship) yang dijadual berlangsung di Jeddah, Arab Saudi, hujung tahun ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram