
PENYERANG veteran dari Ivory Coast, Tchetche Kipre muncul wira dalam kemenangan 2-1 Penang FC ke atas Negeri Sembilan FC, sekali gus menamatkan kemarau kemenangan mereka dalam saingan Liga Super selepas lima perlawanan tanpa sebarang tiga mata.
Kipre muncul wira Harimau Kumbang selepas meledak dua gol di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Sabtu sekali gus menyuntik semula keyakinan skuad Penang FC yang sebelum ini bergelut mencari rentak.
“Rasa gembira bila dapat jaringkan gol, tapi yang lebih penting kami bermain baik sebagai satu pasukan.
BACA LAGI: Ibu mentua pemain Malaysia ditahan terlibat kes palsu cop pasport
BACA LAGI: Hero Derby Pantai Timur patut diikat lebih lama Sang Penyu, tapi lain pula kisah Gabriel Silva
“Tiga mata ini sangat penting, lebih-lebih lagi di laman sendiri. Kami cuba dalam tiga perlawanan sebelum ini di tempat sendiri tapi semuanya tewas. Saya asyik tekankan pada diri sendiri, kita mesti menang," katanya.
Jelasnya lagi, mereka sedar kemenangan hanya boleh dicapai dengan usaha lebih keras berbanding sebelum ini.
“Saya tahu saya perlu berada dalam kondisi terbaik, terutamanya di posisi serangan. Apabila peluang hadir, saya mesti tenang dan klinikal.
"Syukur, semuanya menjadi dan saya berjaya menjaringkan gol, tambahan pula menentang pasukan yang sedang berada dalam prestasi baik," tambahnya lagi.
Penang bermula garang apabila Kipre menyudahkan peluang dengan tenang pada minit ke-13 dan gol tersebut disahkan selepas semakan VAR mengesahkan dia tidak berada dalam posisi ofsaid.
Kipre (kanan) muncul wira buat Harimau Kumbang selepas meledak dua gol tundukkan Negeri Sembilan. — Facebook/penangfc
Pasukan tuan rumah hampir menambah jaringan menerusi pemain sayap Australia, Dylan Wenzel Halls namun kali ini golnya dibatalkan selepas VAR mengesan ofsaid.
Memasuki separuh masa kedua, Penang terus menunjukkan intensiti tinggi dan Kipre sekali lagi menjadi pemusnah benteng skuad Jang apabila melepasi perangkap ofsaid dan menyempurnakan peluang pada minit ke-49 untuk meletakkan Penang di hadapan 2-0.
Negeri Sembilan merapatkan kedudukan pada masa kecederaan selepas cubaan Hakimi Abdullah terkena pemain pertahanan Penang, Faith Obilor sekali gus menghasilkan gol sendiri, namun ia sudah terlambat untuk mengubah keputusan perlawanan.
Kemenangan itu bukan sahaja menghadiahkan tiga mata berharga kepada Penang, malah turut memberi suntikan moral penting dalam usaha mereka keluar dari zon bergelut dalam saingan liga.
Penang ketika ini menghuni tangga kesembilan dengan mengutip empat mata selepas enam perlawanan liga berlangsung. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram