[VIDEO] Tahun lalu rekod tercalar di Selayang, mampukah JDT lepasi ‘roadblock’ PDRM demi musim 100 peratus


  • Podium
  • Ahad, 05 Okt 2025

Skuad Harimau Selatan bakal bertandang ke Stadium Selayang dalam aksi bertemu PDRM FC pada Ahad. — Facebook/JST

KELAB gergasi tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal berkunjung ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor bagi meneruskan misi mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super Malaysia 2025/26 menentang PDRM FC pada Ahad.

Skuad kendalian Xisco Munoz itu kini berada dalam prestasi terbaik selepas mencatatkan enam kemenangan berturut-turut dalam liga, sekali gus mengekalkan kedudukan selaku pendahulu tanpa sebarang kekalahan musim ini.

Namun, pertemuan menentang The Cops pastinya membangkitkan kenangan pahit buat penyokong Harimau Selatan kerana PDRM FC menjadi satu-satunya pasukan yang berjaya mencalar rekod cemerlang JDT musim lalu.

BACA LAGI: [VIDEO] Bintang Liga A1 letakkan diri dalam senarai eksklusif, gegar JDT lepas hampir digugur

BACA LAGI: Gelora pengurusan PDRM angkara isu gaji berterusan, poster berdepan JDT dihasilkan ala kadar

 PDRM FC pastinya berazam untuk mengulangi sejarah dengan mencatat keputusan seri 1-1 menentang JDT dalam aksi di Stadium Selayang. Facebook/PDRMFC

Siapa sangka, Stadium Selayang menjadi saksi pasukan Lembah Klang tersebut berhasil 'menggari' JDT dengan keputusan seri 1-1 pada 31 Julai musim lalu. 

Dalam perlawanan yang ketika itu dikendalikan oleh Hector Bidoglio, JDT ketinggalan selepas Shahrel Fikri Md Fauzi meledak gol pembukaan untuk PDRM pada minit ke-22.

Bagaimanapun, Oscar Arribas menyamakan kedudukan 10 minit kemudian menerusi satu gerakan menarik di kawasan tengah.

Keputusan seri itu mencalarkan sedikit rekod kebal JDT yang ketika itu sudah pun menjuarai Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut, namun mahu melakar sejarah dengan tidak mencicirkan sebarang mata sepanjang kempen liga.

Meskipun pernah mencipta kejutan, skuad Sang Saka Biru itu kini dilaporkan berdepan beberapa isu dalaman yang dipercayai sedikit sebanyak memberi kesan terhadap prestasi mereka musim ini.

Setakat lima perlawanan, skuad kendalian The Cops hanya mencatatkan satu kemenangan, tiga seri dan satu kekalahan, satu pencapaian yang jauh berbeza berbanding JDT.

Namun begitu, dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku.

Hal ini kerana, bahagian pertahanan JDT yang diketuai penjaga gol muda, Christian Abad dilihat sedikit goyah apabila enam gol telah dibolosi setakat ini ketika dia diberi tugas menjaga benteng terakhir pasukan.

Perkara tersebut menimbulkan spekulasi bahawa penjaga gol skuad kebangsaan, Ahmad Syihan Hazmi bakal kembali diturunkan bagi memperkukuh benteng terakhir pasukan.

Syihan Hazmi dijangka diturunkan bagi aksi bertemu PDRM FC bagi memperkukuh benteng terakhir pasukan.  Facebook/JST

Jika berjaya meraih kemenangan di Selayang, JDT bukan sahaja akan mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini, malah mengukuhkan lagi cengkaman di puncak liga, memandangkan tiada pencabar rapat yang benar-benar mampu memberi tekanan kepada mereka setakat ini.

Perlawanan tersebut dijangka menjadi ujian taktikal buat Xisco Munoz dalam memastikan momentum pasukan terus konsisten menjelang pertengahan musim, sambil memperbaiki kelemahan terutama di bahagian pertahanan.

Adakah PDRM FC mampu sekali lagi menjadi penghalang kepada misi JDT? Atau adakah Harimau Selatan akan menebus semula sejarah lalu dengan kemenangan bergaya?.

Segalanya bakal terjawab Ahad nanti di Selayang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram