Lewat sesuaikan diri punca Nidzam bergelut lepasi ujian tempat lawan bersama Selangor-NSFC


  • Podium
  • Isnin, 06 Okt 2025

Nidzam masih berdepan kesukaran ketika membimbing pasukan di tempat lawan bersama Selangor dan Negeri Sembilan.

NEGERI Sembilan FC wajar diangkat sebagai pakej kejutan Liga Super musim ini setelah menewaskan Selangor FC dan Sabah FC di laman sendiri selain berjaya mencetak tiga jaringan dalam aksi pembukaan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di tempat lawan.

Ini merupakan satu peningkatan cukup hebat berbanding kempen lalu apabila skuad Jang hanya memungut 16 mata daripada 24 perlawanan yang meletakkan pasukan itu di tangga ke-13.

Kredit besar atas perubahan Negeri Sembilan FC wajar diberikan kepada pengendali, Nidzam Jamil yang bijak mengatur pasukan selain membuat perubahan pemain.

BACA LAGI: [VIDEO] Sekali lagi bolos awal, Nidzam akui 'lambat panas' punca NSFC cicir mata di Bandaraya

BACA LAGI: Bekalan selesa 5 gol, tak salah Nidzam Jamil turunkan 3 senjata 'terpendam'

Negeri Sembilan FC menghadiahkan kemenangan pertama Liga Super buat skuad Harimau Kumbang. Facebook/Penang FC

Bagaimanapun, lain pula kisahnya setiap kali pasukan tersebut bertandang ke gelanggang lawan apabila mereka hanya mengutip satu mata dari tiga perlawanan.

Statistik itu sebenarnya amat merisaukan kerana dua dari aksi tersebut adalah ketika bertemu lawan dari luar kelompok 10 teratas, iaitu Imigresen FC dan Penang FC.

Malah, dalam pertembungan dengan skuad Harimau Kumbang pada Sabtu, Negeri Sembilan FC menghadiahkan kemenangan pertama Liga Super buat kelab Utara tanah air itu.

Dilema sama turut dihadapi ketika aksi timbal balik Piala FA menentang PDRM FC di Stadium Selayang, Selangor yang menyaksikan mereka tumpas 0-1 yang bagaimanapun tidak menghalang kemaraan skuad Jang dalam pertandingan itu menerusi agregat 5-1.

Skuad Jang turut mengalami kekalahan dalam aksi timbal balik Piala FA di Stadium Selayang.Facebook/Negeri Sembilan FC

Prestasi Negeri Sembilan FC di tempat lawan menimbulkan kegusaran buat penyokong dengan ada yang mula menyuarakan rasa kurang senang terhadap percaturan jurulatih muda itu.

Namun, masalah tersebut turut dihadapi Nidzam ketika bergelar pengendali Selangor FC apabila dia berjaya menjadikan Stadium MBPJ, Selangor sebagai kubu pasukan, namun lain kisahnya di tempat lawan.

Sepanjang kira-kira enam bulan bersama kelab Lembah Klang terbabit, jurulatih berusia 45 tahun itu terlibat dalam 13 perlawanan Liga Super dengan tujuh daripadanya diadakan di laman sendiri.

Enam daripada aksi tersebut menyaksikan skuad Gergasi Merah mencetak kemenangan, namun tewas dalam aksi terakhir Nidzam di laman sendiri kepada JDT yang membawa kepada keputusan pihak pengurusan merehatkannya serta merta.

Satu-satunya kekalahan Selangor di laman sendiri ketika di bawah bimbingan Nidzam adalah semasa berdepan JDT.

Tetapi, ketika bertandang ke gelanggang lawan, kelab Lembah Klang itu bergelut dengan satu kekalahan, dua keputusan seri dan tiga kemenangan direkodkan.

Nasib sama turut menimpa di pentas Piala FA apabila skuad Gergasi Merah tewas dalam semua aksi di tempat lawan iaitu kepada Kuching City FC dan Terengganu FC sebelum mengembalikan defisit di gelanggang sendiri.

Senario sama kelihatan berulang kali ini kerana Nidzam dan Negeri Sembilan FC bergelut untuk beraksi di luar kubu sendiri dengan beberapa faktor boleh dikesan.

Antaranya, keadaan padang yang berbeza boleh memberi kesan, lebih-lebih lagi ketika bersama Selangor FC kerana padang Stadium MBPJ mempunyai antara kualiti terbaik dalam negara.

Nidzam menjadi Stadium MBPJ dan Stadium Tuanku Abdul Rahman sebagai kubu pasukan sendiri sepanjang tempoh pengendaliannya.

Bagaimanapun, alasan itu tidak boleh diguna pakai bersama Negeri Sembilan FC memandangkan keadaan padang di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi bukanlah berada dalam keadaan terbaik.

Isu sukar menyesuaikan diri di gelanggang lawan juga boleh dijadikan antara punca kedua-dua pasukan kendalian Nidzam tersebut bergelut.

Hal itu diakui sendiri jurulatih berkenaan dengan menganggapnya faktor utama kekalahan skuad Jang di tangan Penang FC yang membangkitkan persoalan mengenai keupayaannya di tempat lawan.

Masalah terbabit perlu diselesaikan segera jika Negeri Sembilan FC mahu membuktikan diri sebagai pencabar utama Liga Super pada tahun-tahun akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram