
SKUAD Harimau Malaya kini memasuki fasa penting menjelang dua aksi terakhir Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos pada Oktober dan Nepal pada November ini.
Di bawah kendalian jurulatih baharu, Peter Cklamovski, hanya 11 posisi dalam kesebelasan utama menjadi rebutan, sekali gus memaksa setiap pemain mempamerkan kesungguhan terbaik mereka.
Selain tonggak utama yang sudah kukuh dalam pasukan, terdapat beberapa nama yang masih perlu bekerja keras untuk menambat hati Cklamovski selepas tidak diberi peluang beraksi ketika perlawanan persahabatan menentang Singapura dan Palestin baru-baru ini.
Antara empat pemain yang perlu bangkit membuktikan kemampuan ialah:
1. Hong Wan (JDT)
Hong Wan mungkin terpaksa akur sekadar menjadi pemerhati daripada tepi padang sekiranya tidak pulih dalam masa terdekat. — Johor Southern Tigers
Hong Wan antara nama yang paling mencuri perhatian sejak menyarung jersi Johor Darul Ta’zim (JDT). Pemain tengah berdarah kacukan ini mempunyai kelebihan dari segi teknik, visi permainan serta pengalaman beraksi di peringkat kelab elit.
Namun, kecederaan misteri di bahagian kaki yang dialaminya kebelakangan ini menimbulkan tanda tanya mengenai tahap kecergasan sebenar.
Risiko untuk menurunkannya dalam keadaan tidak cergas sudah tentu sesuatu yang enggan diambil oleh jurulatih Peter Cklamovski.
Keadaan itu menimbulkan ketidakpastian mengenai tempoh pemulihan serta bila Hong boleh kembali beraksi pada tahap terbaik.
Dalam situasi semasa, Harimau Malaya memerlukan pemain tengah yang benar-benar cergas bagi menggalas cabaran penting menentang Laos dan Nepal. Jika kecederaan itu berpanjangan, Hong Wan mungkin terpaksa akur sekadar menjadi pemerhati daripada tepi padang.
2. Azam Azmi (Terengganu FC)
Persembahan Azam Azmi yang tidak menentu kebelakangan ini membuatkan posisinya semakin rapuh dan terancam.
Azam Azmi sebelum ini dilihat antara prospek pertahanan kanan masa depan negara. Namun, persembahan tidak menentu kebelakangan ini membuatkan posisinya semakin rapuh dan terancam.
Dalam perlawanan menentang Singapura dan Palestin, dia langsung tidak diberi peluang, menandakan Cklamovski masih belum yakin dengan tahap konsistensinya.
Saingan di posisi itu juga semakin sengit dengan kehadiran pemain muda lain yang lebih berdisiplin dari segi bertahan dan berani membantu serangan.
Azam tidak boleh hanya bergantung kepada reputasi lalu, sebaliknya perlu meningkatkan kecergasan dan disiplin taktikal supaya tidak ketinggalan.
Sekiranya Azam gagal menampilkan kebangkitan, posisinya berpotensi diambil alih sepenuhnya oleh pemain lain.
Bagaimanapun, dengan pengalaman yang dimilikinya bersama Terengganu FC dan Harimau Malaya sebelum ini, peluang untuk bangkit tetap ada sekiranya dia mampu memperbaiki kelemahan yang sering dipersoalkan.
3. Azri Ghani (Negeri Sembilan FC)
Azri Ghani dikenali dengan refleks pantas serta kebolehan menyelamatkan sepakan jarak dekat. — Agensi
Penjaga gol muda ini berdepan laluan sukar untuk menempatkan diri sebagai pilihan utama skuad negara.
Kehadiran Syihan Hazmi dan Haziq Nadzli, yang lebih berpengalaman di pentas antarabangsa, jelas membuatkan nama Azri semakin sukar diketengahkan.
Situasi itu menyebabkan dia masih dianggap sekadar pilihan ketiga di posisi benteng terakhir.
Namun, Azri sebenarnya memiliki potensi besar sekiranya diberikan peluang. Dia dikenali dengan refleks pantas serta kebolehan menyelamatkan sepakan jarak dekat.
Cuma kekurangan pengalaman dalam perlawanan kompetitif bertaraf tinggi menjadi faktor penghalang utama untuk dirinya menyaingi penjaga gol senior.
Apa yang diperlukan kini adalah kesabaran dan usaha berganda. Sekiranya Azri mampu membuktikan konsistensi bersama kelabnya dan terus meningkatkan kematangan ketika beraksi, tidak mustahil Cklamovski akan memberi ruang kepadanya dalam perlawanan menentang Laos atau Nepal nanti.
4. Paulo Josue (Kuala Lumpur City FC)
Paulo kini berdepan cabaran besar untuk mengekalkan relevansi dalam pasukan yang semakin dipenuhi tenaga muda. — Agensi
Tonggak naturalisasi ini pernah menjadi sandaran utama Harimau Malaya, terutama dalam aspek kreativiti dan kepimpinan di bahagian tengah.
Namun, usianya yang kini mencecah 36 tahun semakin menghadkan pergerakan serta tahap kecergasan.
Kehadiran dua pemain warisan baharu, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado, seolah-olah menenggelamkan pengaruh Paulo dalam skuad negara.
Selain faktor usia, peranan Paulo kini berdepan cabaran besar untuk mengekalkan relevansi dalam pasukan yang semakin dipenuhi tenaga muda. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram