
SALAH satu faktor pemain dipinjamkan ke pasukan lain adalah bagi memberi peluang kepada mereka untuk mendapatkan minit permainan, sekali gus mengembalikan potensi yang kian terhakis bersama kelab majikan semasa.
Situsi pemain menyinar bersama kelab pinjaman bukan perkara baharu dalam bola sepak termasuk pada saingan Liga Malaysia (Liga M) hingga menyaksikan khidmat mereka mahu disambung sebagai tonggak tetap.
Musim 2025/2026 pun menyaksikan beberapa pemain pinjaman semakin menyinar bersama pasukan sementara mereka dengan ia membuktikan proses itu sebagai alternatif terbaik untuk mengembalikan bakat yang kian dilupakan.
BACA LAGI: [VIDEO] Bintang Liga A1 letakkan diri dalam senarai eksklusif, gegar JDT lepas hampir digugur
BACA LAGI: Gelora pengurusan PDRM angkara isu gaji berterusan, poster berdepan JDT dihasilkan ala kadar
Johor Darul Ta'zim (JDT) khususnya menjadi kelab terbesar meminjamkan pemain menyaksikan tonggak seperti Safawi Rasid, Syamer Kutty Abba, Azam Azmi serta adik-beradik Lambert (Declan dan Ryan) antara yang semakin menyinar bersama kelab pinjaman.
Bagaimanapun, tidak semua melalui pengalaman menyeronokkan bersama pasukan pinjaman apabila ada juga pemain skuad Harimau Selatan yang masih bergelut untuk mendapatkan rentak di kelab semasa mereka.
Oleh itu, kali ini Majoriti menyenaraikan tiga pemain skuad Harimau Selatan yang masih belum berada pada tahap memuaskan walaupun mendapat peluang bersama kelab pinjaman mereka.
1) Fergus Tierney
Sabah merupakan kelab pinjaman ketiga Tierney. — Facebook/SabahFC
Bermain bersama kelab pinjaman seolah-olah sudah menjadi 'acara tahunan' untuk Fergus Tierney apabila penyerang muda itu telah bermain dengan tiga pasukan lain dalam kariernya.
Pada Julai 2024, Tierney dipinjamkan ke Thailand untuk bermain bersama Chonburi FC dan pada awal musim 2025 pula, dia bermain untuk kelab Nakhonpathom United dalam liga sama.
Kedua-dua pinjaman berkenaan menyaksikan pemain berusia 22 tahun berkenaan menunjukkan prestasi cemerlang dengan dia membantu Chonburi memenangi kejuaraan Liga 2 Thailand dan mencetak tiga gol untuk Nakhonpathom.
Bagaimanapun, prestasi positif itu tidak berlaku di kem Sabah FC apabila Tierney kini hanya mencetak satu gol sahaja dalam lapan perlawanan dia diturunkan setakat ini.
Sama ada tidak mendapat sokongan di bahagian sayap atau taktikal Jean-Paul de Marigny kurang sesuai dengan Tierney, tetapi prestasi suam-suam kuku itu dibimbangi memberi kesan pada aksinya bersama skuad Bawah 23 Tahun negara.
2) Gabriel Nistelrooy
Nistelrooy masih belum mencetak sebarang gol untuk The Cats. — Facebook/KuchingCity
Musim lepas, nama Gabriel Nistelrooy Tamin kini meniti di bibir peminat bola sepak tanah air selepas mencipta sejarah sebagai pemenang Kasut Emas dan Pemain Terbaik Piala MFL pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2024/2025.
Anak jati Miri, Sarawak berkenaan memukau peminat bola sepak tempatan dengan menghasilkan 24 jaringan sepanjang musim menjadikannya penyerang paling tajam dalam saingan Piala MFL.
Susulan cemerlang menjadi ayam tambatan JDT II, Gabriel Nisteelrooy dipinjamkan ke skuad The Cats bagi memberi dia peluang mendapatkan minit permainan lebih kompetitif.
Tetapi, keputusan itu seolah-olah tidak menambah baik karier pemain berusia 25 tahun berkenaan apabila dia hanya tampil dalam dua aksi Liga Super sebagai pemain gantian dan merekodkan dua penampilan di saingan Piala FA.
Kecemerlangan Ronald Ngah Wanja dan Jordan Mintah sebagai penyerang utama menyekat peluang Gabriel Nistelrooy untuk mendapatkan peluang membuktikan dia merupakan penyerang bertaraf Liga Super.
3) Nicolao Cardoso
Cardoso dipinjamkan ke KL City pada awal musim ini. — Facebook/KLCity
Nicolao Cardoso menjadi pemain paling menyedihkan buat Harimau Selatan apabila masih tidak pernah menyarung jersi JDT walaupun tiba di Iskandar Puteri pada awal musim 2024.
Rentetan perlu bersaing dengan pemain sayap jauh lebih berkualiti, pemain berketinggian 1.84 meter itu dipinjamkan ke kelab Indonesia, PSS Sleman hampir 10 bulan.
Sepanjang berada di Indonesia, bekas pemain SSC Napoli itu merekodkan enam gol dan dua bantuan jaringan daripada 28 penampilan dengan ia merupakan angka meyakinkan untuk Kuala Lumpur (KL) City meminjam khidmatnya.
Namun, prestasi di Sleman tidak berlaku kepada Cardoso di skuad Warga Kota apabila dia setakat ini hanya merekodkan satu gol dalam lapan perlawanan termasuk dua aksi Piala FA pemain itu diturunkan.
Pergelutan yang berlaku itu seolah-olah memberi gambaran kesukaran saingan Liga Malausia sukar dan tahap kompetitif lebih tinggi daripada Liga 1 Indonesia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram