KPG-TCH sudah merasa, tiba masa Peter Cklamovski bukti kemampuan tanpa khidmat 7 bintang warisan


  • Podium
  • Isnin, 29 Sep 2025

Peter Cklamovski harus bersedia berdepan kemungkinan meneruskan perjuangan Harimau Malaya tanpa tujuh pemain warisan yang digantung.

DEBARAN 10 hari untuk membuat rayuan rentetan hukuman Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan terus berjalan.

Masa terus bergerak, namun masa depan skuad negara ibarat telur di hujung tanduk selepas tujuh pemain dikatakan menyeleweng serta memalsukan dokumen.

Andai benar hukuman gantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama setahun terhadap tujuh pemain itu berjalan, bagaimana nasib pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski?

BACA LAGI: Hamidin terbang ke ibu pejabat FIFA, kemuka rayuan isu skandal pemain warisan

BACA LAGI: ‘Suatu perasaan yang hebat’, bintang warisan Malaysia akhirnya cipta gol di Scotland

Nikmat yang hilang

Sekiranya hukuman gantung itu diteruskan, pastinya ia menjadi masalah besar buat Harimau Malaya kerana sejak revolusi bermula, Malaysia bermain dengan baik.

Dengan Malaysia dalam posisi baik untuk ke Piala Asia 2027, Cklamovski turut berada pada situasi yang menyenangkan dirinya kerana dia masih belum tumpas dalam mana-mana perlawanan.

Namun begitu, jika hukuman itu diteruskan, nikmat yang dimiliki Cklamovski akan hilang dengan ujian sebenar dia sebagai pengendali Malaysia bermula.

Kim Pan-gon pernah menurunkan skuad Harimau Malaya yang tidak dibarisi ramai pemain utama.

Sebelum ini, kita dapat saksikan beberapa jurulatih negara kelihatan terikat apabila tidak berjaya menghimpunkan skuad terbaik terutamanya ketika kejohanan Piala Asean.

Sebagai contoh, kita dapat saksikan bagaimana Tan Cheng Hoe dan Kim Pan-gon terpaksa menggunakan skuad yang berbeza hinggakan ada menggelarkannya sebagai skuad "B" Malaysia.

Walaupun tidak mendapatkan hasil terbaik, namun mereka masih dapat mencaturkan skuad yang kompetitif tanpa nama-nama yang lazim menyertai pasukan kebangsaan.

Kemampuan sebenar teruji

Apabila berlakunya situasi sebegini, ia meletakkan Cklamovski kepada ujian kemampuannya dalam memastikan Malaysia terus berdaya saing walaupun tanpa bintang-bintang warisan.

Di sini, segala taktikal dan ideanya akan teruji sama ada ia tetap boleh dilaksanakan walaupun tanpa pemain bergred "A" yang beraksi di La Liga serta kelab Amerika Selatan.

Sekiranya Cklamovski lulus ujian mengadaptasi kepada keadaan tak terduga itu dan berjaya membawa Malaysia ke Piala Asia, semestinya kredibilitinya akan meningkat dan berjaya memastikan revolusi Harimau Malaya terus bernyawa.

Bagaimana Cklamovski hendak membentuk skuad Malaysia tanpa tujuh pemain warisan?

Dua aksi menentang Laos adalah penting, sepatutnya tiada masalah untuk Malaysia meraih kemenangan walaupun tanpa tujuh pemain warisan itu.

Laos mungkin tidak sehebat Vietnam, namun fokus tetap perlu diberikan dengan sebaiknya oleh Harimau Malaya kerana tiket ke Arab Saudi tahun depan sudah berada dalam pantauan.

Jika benar tujuh pemain itu digantung, Cklamovski harus menjadi watak seorang tenang bagi memastikan skuad Harimau Malaya tidak terkesan daripada ribut yang melanda. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram