
KEKALAHAN 2-4 buat kali kedua berturut-turut dialami Selangor FC dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two musim ini setelah tewas di tangan Lion City Sailors di Singapura pada Rabu.
Keputusan itu jelas menunjukkan kelemahan barisan pertahanan skuad Gergasi Merah yang semakin menyulitkan usaha pasukan tersebut untuk mara ke pusingan seterusnya.
Tumpuan utama sudah tentu diberikan terhadap bek tengah, Sharul Nazeem Zulpakar yang berkali-kali melakukan kesilapan sehingga memberi ruang buat pasukan lawan mencetak empat gol.
BACA LAGI: Terengganu FC kaku seperti ternampak hantu hingga bolos lima kali
BACA LAGI: Bukan hanya JDT, kelab Lembah Klang-Borneo juga 'bolot' pemain kebangsaan
Barisan pertahanan skuad Gergasi Merah sekali lagi mengalami masalah besar. — Facebook/Selangor FC
Ini bukanlah kali pertama pemain yang turut dikenali sebagai Afro itu mengundang rasa kurang senang dalam kalangan penyokong yang sudah beberapa musim memberikannya ruang untuk menambah baik prestasi.
Namun, setiap minit diberikan untuk bek tengah tersebut hanya berakhir dengan kekecewaan sehingga membuatkan majoriti peminat mendesak agar dia digugurkan dari pasukan pada jendela perpindahan akan datang.
Sekiranya Selangor FC mengambil langkah drastik sedemikian, mereka tidak perlu gusar memandangkan terdapat alternatif lain dalam kalangan pemain lokal untuk mengisi kekosongan bakal ditinggalkannya.
1. Dominic Tan
Sejak bersama Sabah FC pada 2021, karier Dominic Tan kian cemerlang setelah dia diangkat sebagai antara pertahanan tengah terbaik, termasuk di pentas antarabangsa.
Ini kerana barisan kejurulatihan Harimau Malaya terus memberikan kepercayaan kepadanya yang kini sudah mengumpul tiga penampilan, sekali gus menceritakan kualiti dimilikinya.
Selangor FC mampu memberi ruang dan pengalaman baharu buat Dominic Tan. — Facebook/Sabah FC
Kecemerlangan pemain berusia 28 tahun tersebut sepatutnya membuka mata pihak pengurusan Selangor FC untuk menyambarnya dengan segera supaya benteng pertahanan pasukan lebih kukuh.
Situasi bergolak dialami pihak pengurusan Sabah FC membuka laluan cerah buat kelab Lembah Klang itu mendapatkan khidmatnya yang pasti mahu mencari suasana baharu.
Gandingannya bersama bek tengah Gergasi Merah seperti Harith Haiqal, Richmond Ankrah mahupun Mohamed Abualnadi sudah tentu menarik untuk disaksikan, sekali pun kelab itu gagal melayakkan diri ke ACL Two musim depan.
2. Ubaidullah Shamsul Fazili
Pemain terbaik Piala MFL 2023, Ubaidullah Shamsul Fazili kian membuktikan dirinya sebagai antara pertahanan muda terbaik negara selepas diserap ke dalam pasukan utama sejak musim lalu.
Meskipun baru hanya dua musim bersama Terengganu FC, bek berusia 21 tahun itu sudah merekodkan 56 penampilan secara keseluruhan, termasuk dalam saingan Piala AFC dan Piala Shopee.
Menariknya, profil permainan Ubaidullah amat sesuai buat Selangor FC kerana meskipun lebih selesa di posisi tengah, dia juga berkali-kali diberi kepercayaan sebagai pemain pertahanan kiri.
Ubaidullah membuktikan dirinya bersedia untuk beraksi di tahap lebih tinggi. — Facebook/Terengganu FC
Berani membuat gelecekan dan pantas melakukan keputusan merupakan antara kelebihan dimiliki bek terbabit yang akan menjanjikan kelainan buat mana-mana pasukan diwakilinya.
Usianya yang masih muda juga menjadi aset penting buat skuad Gergasi Merah yang tidak perlu bimbang akan keberadaannya dalam pasukan, lebih-lebih lagi jika dia terus cergas sepanjang karier.
Tetapi, Ubaidullah sebelum ini pernah menyatakan dia lebih tertarik untuk mencuba diri di Thailand dengan kecenderungan berkenaan sedikit sebanyak menyulitkan hasrat Selangor FC.
3. Safwan Mazlan
Seorang lagi bek muda yang kini cemerlang buat Terengganu FC ialah Safwan Mazlan yang juga menjadi nadi utama pertahanan pasukan sejak diserap ke dalam skuad senior pada 2022.
Meskipun baru sahaja berusia 23 tahun, bek tengah terbabit membuktikan kematangan dirinya ketika membaca pergerakan pihak lawan selain mewujudkan persefahaman bersama rakan sepasukan.
Safwan (kanan) membuktikan dirinya sebagai antara bek tempatan muda terbaik. — Facebook/Terengganu FC
Kualiti pemain tersebut menyaksikan barisan kejurulatihan kerap kali meletakkan kepercayaan penuh buatnya yang kini sudah merekodkan 72 penampilan secara keseluruhan.
Malah, kebolehannya turut ditagih skuad kebangsaan apabila dia sudah diturunkan sebanyak tiga kali dengan tiada sebarang kekalahan dialami ketika dia beraksi.
Sekiranya Selangor FC mampu menandatanganinya dengan segera, Safwan boleh digandingkan bersama pertahanan sedia ada Selangor FC yang juga rata-ratanya masih muda. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram