
BERSELANG cuma lima hari selepas membolosi pintu gol lawan lima kali, Terengganu FC (TFC) pula dibolosi lima gol. Daripada persembahan yang ditakrif bertaraf lima bintang di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah pada 22 Ogos, begitu cepat pula prestasi mereka merudum.
Kelancaran gerakan dan ketajaman penyudah di depan gol ketika membelasah DPMM FC 5-0, Jumaat lalu sebaliknya bertukar menjadi sebuah pasukan yang kaku keras sewaktu tunduk 5-2 kepada Selangor FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Rabu hingga harus membingungkan ketua jurulatihnya, Badrul Afzan Razali.
Antara komen nakal di media sosial menyimpulkan pemain-pemain TFC terkejut kerana ternampak hantu di tempat duduk penonton di Stadium MBPJ hingga langkah mereka kaku untuk membenarkan tuan rumah membina pendahuluan 4-0 dalam separuh pertama lagi.
BACA LAGI: Lima bintang untuk Terengganu di Brunei, jerit Aiman Sekaiichi di televisyen
BACA LAGI: Matyo jadi ‘poster boy’ KRW berebutkan sokongan peminat — Irfan Bakti
Terengganu memperoleh dua gol kesemuanya pada babak kedua perlawanan.
Kebetulan pelakon-pelakon drama bersiri Dr Pontianak 2 – mula bersiaran di saluran Astro Ria pada jam 11 malam setiap Selasa bermula 26 Ogos – yang lengkap berpakaian seperti hantu turut hadir memberi sokongan kepada skuad Gergasi Merah.
Ia tentunya tidak benar mengenai asbab merudumnya prestasi TFC tetapi apa yang pasti, Selangor FC yang tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan FC di Paroi, Ahad lalu, hingga mendapat kritikan keras ketua jurulatihnya, Katsuhito Kinoshi, adalah pasukan yang benar-benar “naik hantu” sepanjang perlawanan malam tadi.
Menerima pengajaran daripada pendahuluan 1-0 hasil jaringan Richmond Ankrah di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR) seawal minit ke-12 tapi kemudian gagal menambah jaringan hingga membenarkan kebangkitan NSFC dengan dua gol Mio Tsuneyasu dalam 10 minit terakhir, Gergasi Merah enggan merelakan kesilapan serupa berulang.
Daripada gol semangat Chrigor Moraes selepas 17 minit, tuan rumah melebarkan pendahuluan hasil jaringan Alvin Fortes (m-24) sebelum Moraes melengkapkan hatriknya pada minit ke-36 dan 45+2 untuk mereka masuk ke bilik persalinan dengan kedudukan selesa 4-0.
Nurillo Tukhtasinov.
Tanpa rakan penyerang, Willian Lira, di sisinya, Moraes nampak tidak kekok memikul peranan penyerang utama apabila menanduk masuk dengan cantik hantaran Fortes pada minit ke-17 dan kemudian memanfaatkan hantaran jauh Noor Al-Rawabdeh pada minit ke-36 untuk menewaskan penjaga gol, Suhaimi Husin, dengan satu sungkitan.
Ketika itu, barisan pertahanan Terengganu kelihatan saling menyalahkan satu sama lain kerana kebocoran yang berlaku hingga pintu gol Suhaimi terdedah tanpa banyak hadangan.
Moraes mungkin menyimpan pertunjukan terbaiknya untuk minit ke-45+1. Satu lagi hantaran jauh Al-Rawabdeh dari kawasan sendiri menemui penyerang kelahiran Brazil berusia 24 tahun itu di luar sebelah kiri kotak penalti lawan.
Meski diapit dan diasak Azam Azmi Murad dan Diego Landis, Moraes masih dapat mengatasi kedua-duanya, kemudian mengambil satu langkah lagi sebelum merembat menewaskan Suhaimi yang menerpa ke arahnya. 4-0 buat Selangor FC dan ‘game over’ buat TFC.
Hairannya, lama sebelum itu, TFC seperti akan mengulangi skrip di Bandar Seri Begawan apabila mereka ‘mendahului’ hanya tujuh minit selepas sepak mula. Percubaan Baqiuddin Shamsudin terbias daripada seorang pemain pertahanan untuk bola singgah di kaki Yann Mabella.
Penyerang berjersi nombor 11 dari Republik Congo itu mudah merembat masuk menewaskan penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, ketika pertahanan, Sharul Nazeem Zulpakar, berada di depannya. Pembantu pengadil juga tidak mengangkat bendera tanda ofsaid.
Badrul kecewa kerana Terengganu melepaskan empat gol mudah berdepan Selangor.
Cuma malang buat TFC kerana Nazmi Nasaruddin di bilik video bantuan pengadil (VAR) memberi hukuman ofsaid dan jaringan tidak disahkan. Pemain-pemain TFC jelas kecewa sambil barisan Gergasi Merah pula bukan sekadar menghela nafas lega, malah ia membuat mereka tersentak dari lamunan untuk meningkatkan kesungguhan sesudah itu.
“Selepas gol kita tidak dikira, pemain mula melakukan banyak kesilapan mudah terutama daripada segi komunikasi antara 'back four'. Kita banyak melihat bola dan itu menyebabkan dibolosi empat gol mudah.
"Kita hilang fokus. Komunikasi antara empat pertahanan longgar dan itu memudahkan lawan menjaringkan gol," kata Badrul Afzan selepas perlawanan.
Sedikit percaturan yang dilakukannya di bilik persalinan ketika rehat menyaksikan TFC bangkit merapatkan kedudukan menerusi jaringan pemain gantian, Gabriel Silva (m-70) dan Junior Ngong Sam (m-82).
Bagaimanapun, sisa-sisa kebangkitan pelawat dilenyapkan oleh Aliff Izwan Yuslan yang berpusing cantik sebelum menyudahkan rembatan pada minit ke-90+6 untuk memuktamadkan kemenangan 5-2.
"Kami dibolosi empat gol iaitu gol yang boleh dikatakan gol mudah. Jadi, kami perlu melihat semula apa kesilapan kami dan saya harap benda ini tidak akan berlaku dalam perlawanan akan datang.
"Melihat kepada perlawanan ini, banyak kesilapan dan kami mudah dibolosi. Kami akan buat rombakan dan kami ada cuti lebih kurang 14 hari, jadi saya harap pemain pulih daripada kecederaan dan fokus perlawanan seterusnya," tambah Badrul Afzan.
Sambil menegaskan fokus dan disiplin bertahan perlu diberi perhatian serius kerana ia menjadi titik kelemahan paling ketara dalam perlawanan itu, rombakan seperti dijanjikannya adalah perkara pasti bagi menghindarkan TFC daripada mengulangi aksi tidak konsisten seperti musim lalu.
Kinoshi pula hanya menghamburkan pujian kepada pemain-pemainnya.
"Saya sangat bangga dengan pemain-pemain saya kerana mereka berjaya mendapatkan transisi yang baik selepas kekalahan teruk menentang Negeri Sembilan.
“Dalam tempoh sebulan ini, hanya ada dua hari, jadi mereka bekerja keras, benar-benar berusaha untuk melakukan transisi itu, dan akhirnya berjaya meraih kemenangan,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram