Bukan hanya JDT, kelab Lembah Klang-Borneo juga 'bolot' pemain kebangsaan


  • Podium
  • Isnin, 21 Jul 2025

JDT masih mengungguli carta dengan skuad bintang yang dibarisi hampir keseluruhan pemain kebangsaan. — Gambar/Facebook Malaysian NT

JIKA sebelum ini Johor Darul Ta’zim (JDT) sering dilabel sebagai ‘kilang’ pemain kebangsaan, kini Selangor FC dan Kuala Lumpur City FC mula mencuri perhatian apabila memperkuatkan skuad masing-masing dengan deretan pemain berstatus bintang yang dominan beraksi pada tahap nasional.

JDT masih mengungguli carta dengan skuad bintang yang dibarisi hampir keseluruhan pemain kebangsaan seperti Arif Aiman Hanapi, Corbin Ong dan penjaga gol utama negara, Syihan Hazmi.

Lebih menarik, kehadiran beberapa pemain warisan seperti Hector Hevel, Jon Irazabal dan Joao Figueiredo yang tampil bersama Harimau Malaya dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal dan Vietnam turut menambah kekuatan mereka.

BACA LAGI: Pestabola Merdeka serlah keunggulan bintang Cina dalam bola sepak Malaysia

BACA LAGI: Piala Dunia bukan tiket jaminan, 3 ex import termasuk bintang EPL Sabah FC 'karam' di Liga Super

Terbaharu, JDT turut mengumumkan kemasukan pemain tengah kelab Sporting Gijon dari Portugal, Nacho Mendez, yang sah berstatus pemain warisan Malaysia.

Namun begitu, tumpuan kini mula terarah kepada tiga lagi pasukan elit Liga Malaysia, Selangor, KL City dan Sabah FC yang dilihat semakin agresif dalam memperkukuh skuad masing-masing menjelang musim baharu.

(Dari kiri) Faisal Halim dan Sharul Nazeem mempunyai pengalaman bersama pasukan negara. — Gambar/Facebook Red Giants

Meskipun tidak aktif membawa masuk pemain lokal, pasukan Lembah Klang itu akan diperkuatkan bintang bertaraf nasional selepas memanggil semula mereka yang dipinjamkan seperti Sikh Izhan Nazrel dan Muhammad Abu Khalil.

Kesemua daripada mereka mempunyai pengalaman bersama pasukan negara, sekali gus memperkuatan skuad Gergasi Merah yang sememangnya dibanjiri pemain antarabangsa seperti Faisal Halim, Nooa Laine, Harith Haiqal, Sharul Nazeem, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan Quentin Cheng.

Berdasarkan data Transfermarkt, sebanyak 13 pemain kebangsaan pernah menyarung jersi Selangor FC dan ini merupakan satu angka yang menunjukkan keseriusan mereka mencabar dominasi JDT.

(Dari kiri) Safawi dan Syamer Kutty antara pemain harapan skuad Warga Kota. — Gambar/Facebook KL City

Sementara itu, KL City turut tidak ketinggalan dalam memperkuat barisan pemain, dengan membawa masuk nama-nama berprofil tinggi termasuk Safawi Rasid dan Syamer Kutty Abba di samping mengekalkan pemain kebangsaan seperti Paulo Josue dan Haqimi Azim Rosli.

Ini merupakan satu rombakan besar-besaran dilakukan skuad Warga Kota yang turut memperoleh khidmat pemain berkualiti seperti Adam Nor Azlin dan Manuel Hidalgo yang masing-masing tidak lagi asing dengan saingan Liga Super.

Sabah FC juga menunjukkan prestasi positif dengan mengekalkan lima pemain kebangsaan Darren Lok, Dominic Tan, Stuart Wilkin, Daniel Ting dan Fergus Tierney menjadikan mereka antara pasukan paling kuat dari tanah Borneo.

Darren Lok Darren Lok terus jadi watak utama Sabah FC dan Harimau Malaya. — Gambar/ SabahFC

Terengganu FC pula memiliki empat pemain kebangsaan termasuk Akhyar Rashid dan dilihat tidak kurang hebat dalam menyumbang kepada skuad Harimau Malaya.

Secara keseluruhannya, dominasi JDT dengan 17 pemain kebangsaan kini dicabar secara berperingkat oleh Red Giants (13 pemain), KL City (6 pemain), Sabah FC (5 pemain) dan skuad Penyu (4 pemain), sekali gus mencerminkan perubahan landskap Liga Malaysia yang semakin kompetitif.

Fenomena itu turut menunjukkan bahawa kuasa 'membolot' pemain kebangsaan tidak lagi dimonopoli oleh satu pasukan semata-mata, sebaliknya tersebar lebih seimbang dalam kalangan kelab elit negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram