
SELEPAS memulakan saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two dengan kekalahan, Selangor FC perlu segera bangkit untuk menghidupkan peluang layak ke pusingan kalah mati.
Mereka yang tewas 2-4 dalam perlawanan pembukaan kepada Bangkok United kini menduduki tangga tercorot Kumpulan H sementara dua kelab lain, Persib Bandung dan Lion City Sailors terikat dengan satu mata diraih.
Walaupun masih terdapat lima aksi berbaki, setiap mata jelas berharga buat skuad Gergasi Merah sekiranya mahu melangkah lebih jauh dalam kempen kali ini.
Skuad Gergasi Merah bakal berdepan aksi mencabar di Singapura pada Rabu. — Facebook/Selangor FC
Bagaimanapun, cabaran besar menanti anak-anak buah Christophe Gamel kerana mereka akan berdepan Lion City Sailors yang merupakan finalis ACL Two musim lalu.
Perlawanan itu bakal berlangsung di Stadium Bishan, Singapura pada Rabu yang bakal menyaksikan Selangor FC beraksi di negara itu buat kali pertama sejak Piala AFC 2016.
Namun, sekiranya penyokong mahu melihat kemenangan Selangor FC di sana, mereka perlu menelusuri sejarah lebih 10 tahun lalu ketika pasukan itu diletakkan dalam Kumpulan H Piala AFC 2013 bersama Tampines Rovers.
Pertemuan lebih awal di Stadium Shah Alam, Selangor menyaksikan skuad Gergasi Merah terikat 3-3 dalam perlawanan epik meskipun pada satu ketika memperoleh kelebihan dua gol.
Prestasi baik Lion City Sailors musim ini merupakan satu cabaran besar buat Selangor FC. — Agensi
Jadi, pertembungan di Singapura sememangnya memberi cabaran lebih besar memandangkan kelab Lembah Klang itu memerlukan tiga mata penuh jika mahu lolos ke peringkat kalah mati.
Harapan diletakkan penyokong Merah Kuning untuk menyaksikan Selangor meraih tiga mata penuh tercapai selepas pasukan berkenaan merekodkan kemenangan 3-2.
Perlawanan itu cukup mendebarkan selepas dua jaringan pendahuluan gergasi tanah air tersebut menerusi gol sendiri Jufri Taha dan Amri Yahyah tidak berkekalan.
Ini selepas Tampines Rovers berjaya mengikat semula kedudukan pada babak kedua menerusi jaringan sendiri Asraruddin Putra Omar serta Aleksandar Duric.
Jaringan Amri di bumi Singapura masih menjadi ingatan hingga ke hari ini.
Tetapi, pada minit ke-76 permainan, Amri yang juga dikenali sebagai Wak Am sekali lagi menjadi wira Selangor selepas rembatan derasnya meletakkan pasukannya kembali di depan.
Kedudukan 3-2 kekal hingga wisel penamat ditiupkan dengan kemenangan di Singapura memastikan skuad Gergasi Merah melayakkan diri ke pusingan kalah mati.
Meskipun akhirnya disingkirkan New Radiant dari Maldives di pusingan 16 pasukan terbaik, kejayaan melepasi peringkat kumpulan sudah cukup menggembirakan.
Kini, selepas 12 tahun, Selangor FC sekali lagi berpeluang menjadikan Singapura medan kebangkitan dalam kempen di pentas Asia selepas dikecewakan dalam aksi pembukaan.
Tidak boleh dinafikan bahawa Lion City Sailors berada dalam kelas tersendiri, namun semangat Merah Kuning perlu dipamerkan bagi membolehkan skuad Gergasi Merah kembali di landasan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram