[VIDEO] Masih tak bolos lepas 7 perlawanan, aksi 'heroic' jumpa kelab Jepun lengkapkan resume Syihan Hazmi


  • Podium
  • Rabu, 01 Okt 2025

Syihan mempamerkan aksi memukau dalam memastikan gawang JDT kekal tanpa dibolosi. — Facebook/JST

PENJAGA gol Johor Darul Ta'zim (JDT), Ahmad Syihan Hazmi terus membuktikan kewibawaannya sebagai benteng terakhir skuad Harimau Selatan apabila mencatat tujuh perlawanan berturut-turut tanpa bolos.

Antara aksi paling mengagumkan adalah ketika menentang kelab gergasi Jepun, Machida Zelvia dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor pada Selasa yang mana Syihan berjaya memastikan gawang JDT kekal kebal tanpa dibolosi.

Penampilan sulung Syihan di pentas ACLE ternyata membuahkan hasil, apabila dia tampil cemerlang menjaga gawang JDT dalam keputusan seri 0-0 menentang Machida, sekali gus memadam keraguan terhadap keupayaannya.

BACA LAGI: [VIDEO] Tak mustahil Selangor FC panggil semula bekas kapten, Alex demi pentas Asia lepas tukar jurulatih

BACA LAGI: Rahmat di sebalik dugaan, penggantungan bintang warisan beri peluang 3 pemain kian meningkat debut bersama HM

Sebelum ini, ada yang mempersoalkan rekod cleansheet Syihan kerana kononnya hanya dicapai menentang pasukan tempatan.

Namun, persembahan konsisten dan beberapa aksi menyelamat penting di pentas Asia membuktikan bahawa Syihan memiliki kualiti setanding penjaga gol bertaraf antarabangsa.

Lebih menarik, prestasi luar biasa Syihan kini dikatakan mampu memberi tekanan kepada penjaga gol JDT, Andoni Zubiaurre yang sebelum ini menjadi pilihan utama pengendali, Xisco Munoz di pentas ACLE.

Kekalahan 1-2 JDT kepada Buriram United pada 16 September lalu ketika Andoni mengawal gawang turut membuka ruang kepada Syihan untuk kembali menjadi pilihan utama.

Untuk rekod, Syihan Hazmi mencatat rekod cleansheet dalam tujuh perlawanan terakhir, iaitu ketika JDT menewaskan Selangor 3-0, Imigresen 3-0, Kuching City 1-0, Penang FC 6-0, Sabah FC 8-0, Bangkok United 4-0, serta seri 0-0 menentang Machida Zelvia.

Dengan prestasi konsisten, tahap keyakinan tinggi dan keberanian menghadapi tekanan di peringkat tertinggi, Syihan kini dilihat bukan sahaja sebagai aset berharga JDT, malah semakin hampir menempatkan dirinya sebagai antara penjaga gol terbaik di rantau Asia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram