'Sudah dibuang baru terbitnya sayang', 3 hero kelab baharu termasuk Ifedayo 'dipaksa' patah balik kelab asal


  • Podium
  • Khamis, 02 Okt 2025

Ifedayo kini menjadi 'mesin gol' pasukan Kelantan TRW. — Instagram/Ifedayo

 

 

WALAUPUN baru enam perlawanan Liga Super berlangsung setakat ini, sudah ada beberapa pemain menunjukkan prestasi luar biasa meskipun baru sahaja bersama pasukan baharu pada musim 2025/2026 ini.

Antara pemain yang menyerlah di pusingan awal Liga Super ini adalah tonggak di posisi serangan berikutan catatan gol diperoleh dalam memastikan pasukan meraih sekurang-kurangnya satu mata.

Dalam kalangan yang menyerlah itu, ada beberapa nama pemain sudah mula meniti di bibir penyokong bekas kelab hingga memaksa mereka untuk kembali berkhidmat dengan pasukan lama.

BACA LAGI: Skandal pemain warisan: Ultras Malaya pecah kebisuan, buat 3 tuntutan termasuk pendedahan susur galur

BACA LAGI: Hadirnya pemain naturalisasi tak gugat motivasi bakat tempatan, bola sepak Malaysia masih ada sinar

Dulu dihina, kini dirindu. Begitulah peribahasa 'habis madu sepah dibuang' yang paling tepat menggambarkan situasi segelintir penyokong bola sepak tempatan yang kembali menagih khidmat bekas pemain pujaan mereka.

Para pemain tersebut suatu ketika dahulu pernah menjadi nadi pasukan dengan aksi konsisten dan semangat juang tinggi, namun akhirnya terpinggir selepas dianggap sudah tidak lagi memberi sumbangan besar.

Selepas ketiadaannya pasukan gagal menyerlah dengan mereka pula semakin menyinar bersama pasukan baharu, penyokong mula merasakan kehilangan dan secara terbuka meluahkan kerinduan terhadap sentuhan lamanya di atas padang.

Oleh itu, kali ini Majoriti menyenaraikan tiga pemain di posisi jentera hadapan yang dilihat semakin dirindui penyokong bekas kelab susulan aksi cemerlang ditampilkan pada musim ini.

1) Jovan Motika (KL City ke NSFC)

 

 

 

 

Selain percaturan taktikal Nidzam Jamil selaku pengendali Negeri Sembilan FC (NSFC), kebangkitan skuad Jang musim ini juga hasil bantuan beberapa pemain termasuk kecemerlangan Jovan Motika selaku import utama.

Pemain yang beraksi di posisi penyerang sayap berkenaan sudah membantu Negeri Sembilan dengan menghasilkan enam jaringan gol termasuk empat daripadanya merupakan aksi Liga Super.

Aksi cemerlang ditunjukkan pemain berusia 27 tahun berkenaan membantu Negeri Sembilan menghuni kedudukan kelima Liga Suoer dengan memperoleh dua kemenangan, dua seri dan satu tewas setakat ini.

Ia merupakan peningkatan ketara daripada pemain kelahiran Bosnia-Herzegovina susulan sebelum ini Motika hanya menjaringkan empat gol daripada 23 perlawanan dia diturunkan bersama Kuala Lumpur (KL) City FC pada musim lepas.

Peningkatan positif itu jelas menimbulkan perasaan cemburu kepada penyokong Kuala Lumpur dengan segelintir pengikut Warga Kota mengharapkan Motika kembali menyarung jersi kelab tersebut.

2) Danial Asri (Selangor FC ke Kuching City)

Walaupun sudah mendapat tempat dalam skuad senior sejak 2020, Danial Asri sekadar menjadi penyerang gantian kepada Gergasi Merah sekiranya mana-mana pemain utama ditimpa isu kecederaan.

Bayangkan sahaja sudah menyarung jersi Selangor FC selama kira-kira lima tahun, pemain kelahiran Rawang berusia 25 tahun itu sekadar menghasilkan enam gol daripada 61 penampilan.

Sedangkan selepas menyarung jersi skuad The Cats pada awal musim ini, bekas penyerang skuad Harimau Malaya Bawah 23 tahun berkenaan sudah mencetak lima gol dan satu bantuan jaringan dalam lima perlawanan dia diturunkan setakat ini.

Oleh sebab itu, penyokong kelab Lembah Klang berkenaan mengharapkan Danial membuat pusingan 'U' kembali ke Selangor bagi menggantikan penyerang import iaitu Willian Lira yang masih tidak menunjukkan sebarang hasil.

Sejak dibawa masuk pada awal musim ini, Lira yang berpengalaman bermain bersama Kedah Darul Aman FC itu masih tidak membuka akaun jaringan dan dilihat akan dilepaskan pada jendela perpindahan kedua nanti.

3) Ifedayo Olusegun (PDRM ke Kelantan TRW)

Menamatkan di kedudukan tercorot pada musim 2024/2025, Kelantan The Real Warriors (TRW) tampil garang pada musim ini apabila berjaya melangkah ke suku akhir Piala FA dengan menyingkirkan KL City dan kini di tangan keenam Liga Super.

Sebelum ini sering dilabel sebagai ‘pasukan belasahan’, skuad bimbingan E. Elavarasan kini mula mengubah persepsi ramai termasuk penyokong sendiri apabila mencatat prestasi meyakinkan dalam musim 2025/26.

Antara tonggak penting kebangkitan pasukan Pantai Timur berkenaan tidak lain tidak bukan adalah penyerang prolifik kelahiran Nigeria, Ifedayo Olusegun yang kini menjadi ‘mesin gol’ pasukan.

Pemain berusia 24 tahun itu memainkan peranan utama untuk barisan hadapan Kelantan TRW dengan Ifedayo sudah meledak enam jaringan dalam lapan perlawanan termasuk dua aksi Piala FA dia diturunkan.

Keputusan positif diperoleh Kelantan TRW itu memberi tamparan hebat buat bekas kelab Ifedayo, PDRM FC yang kini mengalami kemerosotan dengan menghuni kedudukan kelapan selepas sekadar meraih satu kemenangab tiga seri dan satu tewas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram