
PEMAIN Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson da Silva mengakui situasi di mana tiga pemain, Joao Figueiredo, Hector Hevel, dan Jon Irazabal yang digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) membuka ruang buat nama-nama lain menyerlah.
Dengan skuad JDT mempunyai hampir 40 pemain, Bergson mengatakan ia bukan situasi ideal untuk kehilangan tiga pemain warisan Harimau Malaya itu namun dalam kesulitan ada kesenangan buat Harimau Selatan.
Kata Bergson, setiap pemain dalam skuad JDT harus bersedia kerana apabila peluang itu tiba mereka harus mengambilnya.
BACA LAGI: Skandal pemain warisan: JDT kecewa kesilapan teknikal, harap isu selesai segera
BACA LAGI: Usah bimbang fans JDT, 3 pilihan sedia ada boleh pikul tugas bintang digantung FIFA
"Kami bersimpati dengan mereka kerana mereka adalah pemain yang sangat penting buat kami. Kami faham situasi tersebut, malah kami juga ada skuad yang besar, kami mempunyai hampir 40 pemain.
"Jadi semua pemain harus bersedia untuk waktu sebegini kerana perkara baik boleh berlaku apabila anda bekerja keras dan apabila peluang datang, anda harus bersedia.
"Jadi bagi pemain yang tidak pernah bermain sebelum ini, ini adalah peluang mereka dan boleh menjadi detik penting buat kamu musim ini," ujarnya.
Kali pertama tiga pemain tersebut tidak dapat beraksi adalah ketika JDT berdepan Machida Zelvia dalam tugasan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) pada Selasa.
Dalam perlawanan diadakan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri itu kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.
Sebelum ini, FIFA mendenda Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya atas kesalahan menyeleweng dan memalsukan dokumen.
Tujuh pemain tersebut dikenakan denda dan dihukum larangan dari melakukan sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan. — The Star/S. SAKTESH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram