
KANCAH bola sepak tempatan dikejutkan dengan keputusan drastik Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang mengenakan hukuman ke atas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) susulan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pendaftaran tujuh pemain warisan.
Tiga daripada pemain terlibat kini merupakan tonggak utama Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super iaitu Hector Hevel, Jon Irazabal dan Joao Figueiredo.
Dalam keputusan yang diumumkan, FIFA bukan sahaja mengenakan denda terhadap kesemua pemain terbabit, malah menggantung mereka daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan.
BACA LAGI: Pelik tapi benar, Sabah-Penang terikut jejak 2 pendatang baharu Liga Super
BACA LAGI: Tonggak Bangkok United angkat Arif Aiman, penyerang berbisa sebagai 2 ancaman terbesar JDT
Dari kiri: Irazabal, Figueiredo dan Hevel antara pemain warisan Harimau Malaya yang dikenakan hukuman. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Hukuman itu pastinya memberi tamparan hebat kepada skuad Harimau Selatan, khususnya menjelang kempen Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite.
Situasi tersebut hadir pada waktu yang amat kritikal apabila JDT dijadual menentang kelab Jepun, Machida Zelvia di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Selasa (30 September).
Kemenangan amat diperlukan dalam aksi di laman sendiri itu selepas kekalahan 1-2 kepada Buriram United pada 16 September lalu yang sekali gus menyukarkan laluan JDT ke pusingan seterusnya.
Ketiadaan Hevel, Irazabal dan Figueiredo dijangka menjejaskan kekuatan pasukan, yang kini dalam usaha membentuk kombinasi terbaik bagi meraih tiga mata penuh.
Namun, penyokong setia Harimau Selatan kekal optimis kerana meskipun tanpa tiga tonggak import, JDT masih memiliki barisan pemain berkualiti dan berpengalaman untuk meneruskan momentum serta memburu kemenangan penting dalam saingan elit Asia itu.
Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang dijangka bersedia untuk memikul tugas bintang warisan yang ketika ini digantung FIFA.
1) Shahrul Saad
Ketiadaan tonggak pertahanan warisan JDT, Jon Irazabal yang digantung oleh FIFA membuka ruang buat pemain pertahanan kebangsaan, Shahrul Saad untuk kembali mengemudi benteng Harimau Selatan.
Dikenali sebagai antara bek tengah paling berpengaruh dalam skuad Harimau Malaya, Shahrul memiliki reputasi sebagai pemain yang tenang, kental dan berdisiplin di posisi pertahanan.
Pengalaman luas di pentas antarabangsa menjadikan bek berusia 32 tahun itu pilihan yang diyakini untuk menyekat asakan lawan dalam perlawanan penting akan datang.
Bek kental Harimau Malaya, Shahrul Saad kini kembali mengetuai benteng pertahanan JDT. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Situasi itu juga dilihat sebagai peluang terbaik buat Shahrul membuktikan kemampuan sebenar selepas bergelut untuk menempatkan diri dalam kesebelasan utama JDT sebelum ini.
Untuk rekod, Shahrul hanya membuat lima penampilan musim ini, susulan keutamaan yang diberikan kepada Irazabal oleh barisan kejurulatihan kelab.
Namun, dengan ketiadaan pemain berusia 29 tahun itu, tidak mustahil Shahrul akan kembali menjadi watak utama di benteng pertahanan.
Dengan cabaran getir menanti dalam kempen Liga Juara-Juara AFC Elite, aksi Shahrul dijangka menjadi antara penentu kekuatan barisan pertahanan JDT dalam misi memburu kemenangan.
2) Afiq Fazail
Prestasi konsisten dan berdisiplin yang sering dipamerkan oleh Afiq Fazail tidak pernah terlepas daripada perhatian penyokong setia Harimau Selatan.
Namun, peluangnya untuk mengemudi jentera tengah JDT agak terbatas berikutan persaingan sengit dengan pemain warisan, Hector Hevel.
Sejak menyertai skuad JDT, Hevel kerap menjadi pilihan utama pengendali pasukan untuk menggerakkan bahagian tengah, sekali gus menyebabkan Afiq lebih banyak beraksi sebagai pemain gantian musim ini.
Ketiadaan Hevel membuka peluang kepada Afiq untuk kembali beraksi mengemudi jentera tengah pasukan JDT. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Namun, kecederaan yang menimpa Hevel sebelum ini membuka ruang buat Afiq untuk kembali membuktikan kemampuannya, malah dia turut diberi kepercayaan untuk menyandang lilitan kapten, satu penghormatan besar buat pemain tempatan berpengalaman itu.
Kini, dengan Hevel digantung oleh FIFA, penyokong JDT dijangka dapat menyaksikan semula kelibat Afiq mengemudi bahagian tengah pasukan dalam aksi-aksi penting yang mendatang.
Afiq, yang dikenali dengan ketenangan dan ketajaman dalam mengawal tempo permainan, pasti mahu memanfaatkan peluang tersebut untuk sekali lagi menegaskan peranannya sebagai nadi utama di tengah padang Harimau Selatan.
3) Heberty Fernandes
Ketiadaan Joao Figueiredo yang digantung oleh FIFA memberi ruang besar buat Heberty Fernandes untuk kembali menyerlah bersama skuad Harimau Selatan selepas sebelum ini lebih banyak berperanan sebagai pemain gantian.
Heberty yang sebelum ini hanya diturunkan dalam tiga perlawanan musim ini tanpa sebarang jaringan, dilihat masih belum mencapai prestasi terbaiknya di depan pintu gol.
Namun, dengan posisi penyerang kini terbuka berikutan penggantungan Figueiredo, ini merupakan peluang keemasan buat pemain berusia 37 tahun itu untuk membuktikan keupayaannya sebagai aset penting pasukan.
Heberty antara nama yang kini disebut bakal menggantikan Figueiredo di bahagian serangan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Sebagai pemain berpengalaman yang pernah menyinar dalam Liga Thailand dan turut dikenali dengan rembatan deras serta gerakan lincah dari sayap, Heberty memiliki kualiti yang cukup untuk menggalas tanggungjawab di bahagian serangan.
Kemampuannya mencipta ruang dan melakukan larian di kawasan lawan mampu memberi kelebihan taktikal kepada JDT, terutama dalam perlawanan berintensiti tinggi seperti saingan ACLE.
Ketiadaan Figueiredo bukan sekadar membuka ruang kepada Heberty untuk kembali ke kesebelasan utama, malah ia juga menjadi detik penting buatnya membuktikan bahawa dia masih relevan dan berdaya saing di peringkat tertinggi.
Dengan motivasi yang tinggi dan kepercayaan yang bakal diberikan oleh barisan kejurulatihan, Heberty dijangka memainkan peranan penting dalam membantu JDT mengekalkan daya saing di pentas Asia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram