
KEMENTERIAN Dalam Negeri menegaskan proses pemberian kewarganegaraan kepada tujuh pemain warisan negara dilaksanakan mengikut undang-undang, kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menteri Dalam Negeri itu berkata, tidak ada sebab untuk menimbulkan kebimbangan kerana semua proses telah dijalankan dengan teliti dan teratur oleh kementeriannya selaras dengan Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Kenapa perlu bimbang kalau (Persatuan Bolasepak Malaysia FAM) buat perkara yang betul?
“Apa maksud buat perkara yang betul? Ikut Perlembagaan Persekutuan, ikut akta atau undang-undang sedia ada, dan ikut Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam ucapan pada Perhimpunan Bulanan KDN di Putrajaya pada Selasa (30 September).
BACA LAGI: 'Ini detik penentu Harimau Malaya', Rob Friend terkejut FAM dihukum FIFA, hormat prosiding rayuan
BACA LAGI: FAM akui wujud kesilapan teknikal staf pentabiran, tapi sahkan 7 pemain digantung rakyat Malaysia
Holgado merupakan salah seorang dari tujuh pemain yang digantung selama 12 bulan. — Agensi
Beliau berkata, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Badrul Hisham Alias turut meneliti setiap proses yang terlibat dalam pemberian kewarganegaraan kepada pemain warisan terbabit.
“Semua proses dilakukan dengan teratur; kita jelaskan kecuali jika kita melanggar semua itu. (Sebagai contoh) mengenepikan Akta dan mengabaikan Perlembagaan, hanya main langgar.
“Kalau begitu barulah ada sebab untuk bimbang, seolah-olah cuba menyorokkan sesuatu yang tidak wujud atau mencipta perkara yang sebenarnya tiada,” katanya.
Saifuddin berkata, KP JPN turut meneliti setiap proses yang terlibat dalam pemberian kewarganegaraan kepada pemain warisan terbabit.
Baru-baru ini, FAM dan tujuh pemain warisan negara dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Menurut FIFA, FAM didapati mengemukakan dokumen palsu bagi mengesahkan kelayakan pemain berkenaan, yang membolehkan mereka beraksi dalam perlawanan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.
Tujuh pemain yang terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Akibatnya, FAM dikenakan denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa dari tarikh keputusan dimaklumkan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram