
KEHADIRAN Christophe Gamel di Liga Malaysia mungkin singkat ketika bersama Pahang FC, namun falsafah taktikal yang dibawanya kekal relevan untuk dijadikan rujukan, khususnya buat Selangor FC dalam misi memburu kejuaraan.
Kini, pengendali dari Perancis itu diberi kepercayaan sebagai jurulatih interim selepas ketua jurulatih Red Giants, Katsuhito Kinoshi direhatkan susulan prestasi pasukan yang tidak menepati sasaran awal musim.
Gamel yang sebelum ini bersama skuad muda Selangor FC dinaikkan pangkat dengan pengalaman dimilikinya diharap mampu membawa perubahan, lebih-lebih lagi di peringkat antarabangsa.
BACA LAGI: Selangor rehatkan Kino awal musim, 3 warna-warni kisah pecat ketua jurulatih pernah hiasi Liga Super
BACA LAGI: Skuad Sumandak tunjuk belang, The Rhinos 'hilang tanduk' tanpa Kim Swee
Meskipun tidaklah begitu terbukti dalam arena bola sepak tempatan, sentuhan dibuktikan di Pantai Timur diharapkan mampu diulangi bersama Selangor FC yang mahu kembali ke landasan dengan segera.
Berikut antara tiga falsafah utama Gamel yang boleh membantu Red Giants kembali bangkit:
Taktikal berani hadapi JDT
Gamel terkenal dengan keberaniannya dalam merencana strategi ketika berdepan JDT. — Facebook Sri Pahang
Gamel terkenal dengan keberaniannya dalam merencana strategi ketika berdepan pasukan gergasi Liga Malaysia, khususnya Johor Darul Ta’zim (JDT).
Ini dibuktikan semasa membimbing Sri Pahang FC yang menyaksikan pasukannya mengikat skuad Harimau Selatan di tempat lawan dengan penalti pihak lawan menjadi penghalang untuk memastikan pasukan kendalian jurulatih itu meraih tiga mata penuh.
Pendekatan sedemikian sudah tentu mahu diulangi kerana beberapa musim kebelakangan ini, Selangor FC gagal memberi saingan terhadap JDT setiap kali bertemu di tempat sendiri mahupun di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.
Gamel bukanlah jurulatih yang memilih untuk menutup kelemahan dengan bertahan semata-mata, sebaliknya percaya bahawa pasukan mampu memberi tentangan sengit melalui corak permainan agresif.
Pendekatan itu sebenarnya membuka ruang kepada para pemain untuk tampil lebih yakin serta berani mencabar dominasi lawan, sesuatu yang jarang dilakukan oleh pasukan lain ketika bertemu juara bertahan.
Ketengahkan pemain muda
Nooa Laine antara pemain muda Red Giants yang digeruni. — Facebook Selangor FC
Gamel sentiasa meletakkan keyakinan penuh terhadap kemampuan pemain muda. Semasa mengendalikan skuad Tok Gajah, dia tidak teragak-agak mengetengahkan bakat tempatan yang masih mentah untuk tampil dalam kesebelasan utama.
Ini termasuk Saiful Jamaluddin dan Ibrahim Manusi yang diberi peluang berada dalam pasukan ketika Gamel masih bersama Sri Pahang FC meskipun tidaklah begitu kerap diturunkan.
Langkah itu bukan sahaja menambah variasi taktikal, malah menjadi platform terbaik bagi melahirkan generasi pelapis berkualiti yang boleh terus menyambung legasi pasukan.
Pendekatan itu juga amat penting buat Selangor yang terkenal dengan sejarah melahirkan ramai bintang bola sepak tanah air.
Memberi ruang dan peluang secukupnya kepada pemain muda seperti Nooa Laine, Sikh Izhan Nazrel, Mukhairi Ajmal, Sharul Nazeem dan pemain lain bukan sahaja membantu memperkukuh kedalaman skuad, malah mampu memastikan kelestarian pasukan dalam jangka panjang.
Gilap sepenuhnya bintang import
Zach Clough antara pemain import Selangor FC yang menunjukkan prestasi terbaik setakat ini. — Facebook Selangor FC
Gamel memiliki sentuhan istimewa dalam menggilap potensi pemain import. Baginya, kehadiran tenaga asing bukan sekadar pelengkap pasukan atau pengisi kuota Liga M semata-mata.
Hal itu dapat disaksikan kerana bersama skuad Tok Gajah, jurulatih itu berjaya mencungkil penuh bakat Manuel Hidalgo, Kevin Ingreson dan Stiven Rodriguez.
Sekiranya Selangor mampu memanfaatkan pendekatan ini, pemain import mereka akan menjadi nadi penting dalam menstabilkan skuad, sekali gus memberi dimensi tambahan yang sukar dibaca lawan.
Kehadiran Chrigor Moraes dan Zach Clough sebagai pemain import sudah semestinya dapat mengembalikan kegemilangan nama Selangor FC di persada bola sepak tanah air.
Pada masa yang sama, Gamel boleh mengambil peluang memperbaiki kelemahan pemain Willian Lira yang agak goyah pada ketika ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram