
PRESTASI Selangor FC yang dilihat terumbang-ambing dalam saingan Liga Malaysia memberi bayangan bahawa perubahan besar sedang dirancang dalam kem Gergasi Merah, termasuk kemungkinan besar membawa pulang dua pemain pinjaman iaitu Alex Agyarkwa dan Safuwan Baharudin.
Perubahan itu mula dicanang selepas Ketua Jurulatih, Katsuhito Kinoshi direhatkan susulan keputusan kurang meyakinkan sejak awal musim 2025/26.
Jawatan pengendali kini dipangku secara interim oleh jurulatih dari Perancis, Christophe Gamel yang dipercayai sedang menilai semula kekuatan dan keperluan pasukan menjelang jadual padat yang melibatkan tiga kejohanan utama iaitu Liga Malaysia, Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) dan Piala Shopee.
BACA LAGI: Tiga pemain JDT dilarang beraksi sepanjang tempoh penggantungan FIFA — MFL
BACA LAGI: [VIDEO] Jaringan pertama di Jepun, tapi gol ‘backheel’ Dion Cool tak mampu elak kekalahan
Katsuhito Kinoshi (kiri) kini direhatkan daripada menggalas tugas sebagai Ketua Jurulatih Selangor FC. — Facebook/selangorfc
Gamel difahamkan sedang mempertimbangkan untuk memanggil pulang Agyarkwa, yang kini mempamerkan prestasi cemerlang bersama Negeri Sembilan FC serta Safuwan Baharudin yang beraksi bersama Lion City Sailors di Singapura.
Menariknya, kedua-dua pemain tersebut dijangka dapat memberikan impak segera kepada Selangor FC terutamanya dalam memperkukuh jentera tengah dan barisan pertahanan pasukan.
Dalam pada itu, terdapat tiga faktor utama yang mendorong kepada kemungkinan besar kedua-dua pemain tersebut dipanggil semula ke pangkuan Gergasi Merah dalam masa terdekat.
Umum mengetahui bahawa keputusan untuk meminjamkan kedua-dua pemain berkenaan dibuat di bawah era Kinoshi dan dengan pengendali baharu mengambil alih, perancangan terdahulu dijangka disemak semula.
Oleh itu, tidak mustahil sekiranya khidmat kedua-dua pemain berkenaan ditagih bagi menstabilkan pasukan yang kini menghuni tangga ketujuh saingan Liga Super, satu situasi yang cukup membimbangkan.
Di samping itu, Selangor kini turut bergelut dengan skuad kecil, satu masalah yang pernah diakui sendiri oleh Kinoshi yang menyatakan pasukannya kekurangan pemain untuk melakukan penggiliran (squad rotation) dalam musim yang panjang.
Dengan masalah tersebut yang pernah disuarakan secara terbuka oleh Kinoshi sebelum ini, pastinya pihak pengurusan Selangor FC akan memanggil semula pemain-pemain yang dipinjamkan berbanding membawa masuk pemain luar memandangkan jendela perpindahan sudah ditutup pada 31 Ogos lalu.
Bukan itu sahaja, prestasi semasa Agyarkwa turut menjadi faktor utama kerana sejak menyertai Negeri Sembilan, pemain tengah itu muncul sebagai tonggak penting skuad Jang.
Untuk rekod, Agyarkwa kini mencatatkan satu jaringan dan tiga bantuan gol dalam enam perlawanan Liga Malaysia, satu rekod yang meyakinkan untuk dipertimbangkan kembali ke dalam kesebelasan utama Selangor.
Sementara itu mengulas lanjut mengenai prestasi Selangor, setakat lima perlawanan Liga Super musim ini, skuad Gergasi Merah hanya mencatat dua kemenangan dan tiga kekalahan.
Lebih membimbangkan, mereka dibolosi lapan gol meskipun berjaya meledak sembilan gol, petanda ketidakseimbangan yang memerlukan perhatian segera terutamanya di bahagian pertahanan dan tengah.
Safuwan Baharuddin (kanan) dijangka dipanggil semula bagi membantu mengukuhkan benteng pertahanan Gergasi Merah. — Facebook/selangorfc
Masalah itu masih boleh diselesaikan jika mereka mempunyai pemimpin dalam barisan pertahanan dengan Safuwan yang beberapa musim bersama Selangor FC mampu memainkan peranan itu.
Meskipun kerap kali melakukan kesilapan, ramai perlu sedar bahawa bek tengah Singapura itu diperlukan bagi membimbing Harith Haiqal, Richmond Ankrah mahupun Mohamed Abualnadi.
Kepulangan Alex dan Safuwan bukan sahaja dilihat dapat memperkuatkan pasukan, malah memberikan lebih banyak pilihan taktikal buat Gamel dalam usahanya menstabilkan prestasi skuad yang kini dalam fasa peralihan.
Bagaimanapun, setakat ini, masih belum ada pengesahan rasmi daripada pihak pengurusan Selangor FC berhubung pemanggilan semula dua pemain itu.
Namun, perkembangan itu pastinya akan menjadi tumpuan penyokong setia Merah Kuning yang mahu melihat pasukan kembali menemui rentak dan mengembalikan reputasi sebagai pencabar utama kejuaraan musim ini.
Dengan banyak perlawanan penting menanti di peringkat domestik dan Asia, segala langkah dan keputusan pengurusan pemain bakal menjadi penentu hala tuju Selangor FC sepanjang musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram