Bukan Jordi Amat, tetapi 'wonderkid Garuda Merah' pemain Indonesia pertama sarung jersi JDT


  • Podium
  • Ahad, 21 Sep 2025

Abimanyu muncul pemain Indonesia pertama menyarung jersi Harimau Selatan pada tahun 2020. — Agensi

NAMA Syahrian Abimanyu terpahat dalam sejarah Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila muncul pemain Indonesia pertama menyarung jersi Harimau Selatan pada tahun 2020.

Ketika itu, bekas pelatih kelab Levante berusia 21 tahun tersebut dianggap prospek jangka panjang JDT dan digelar ‘wonderkid Garuda Merah’ bola sepak Indonesia selepas menampilkan aksi cemerlang dalam Liga 1 selain membantu skuad Garuda Muda meraih pingat perak pada Sukan Sea 2019 di Filipina.

Perpindahannya disambut penuh keterujaan peminat bola sepak di Indonesia hingga melonjakkan populariti JDT di republik berkenaan dengan peningkatan mendadak jumlah pengikut di laman sosial rasmi kelab.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Apa sudah jadi Lira? Sedangkan bek JDT-Selangor pun sudah skor walaupun kali pertama beraksi Liga Super'

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan setakat Arif Aiman 'hilang', ini 3 lagi kesilapan besar Xisco Munoz

Langkah berani JDT menandatangani pemain berketinggian 171 sentimeter itu turut mencetuskan perhatian kerana kelab itu lazimnya membawa masuk pemain import berprofil tinggi dari Amerika Selatan atau Eropah.

Sebaliknya, Harimau Selatan memilih bakat muda rantau ASEAN sebagai taruhan masa depan.

Debut Abimanyu ketika ketika menentang Sabah FC. — Facebook Johor Southern Tigers

Kehadiran Abimanyu kemudian dianggap simbol kepada ‘Projek ASEAN JDT’ dalam kalangan penyokong yang dilihat sebagai usaha memperluas pengaruh kelab itu di rantau ini, khususnya di Indonesia.

Namun realitinya, persaingan sengit dalam skuad utama yang dipenuhi bintang ternama menyukarkan anak kelahiran Banjarnegara itu menembusi kesebelasan utama pada ketika itu

Dia kemudian dipinjamkan ke Newcastle Jets di Australia sebelum kembali ke Indonesia bersama Persija Jakarta dan kini beraksi untuk Persik Kediri.

Walaupun tidak meninggalkan impak besar di padang bersama JDT seperti Jordi Amat, nama Abimanyu tetap dikenang kerana menjadi pemain Indonesia pertama yang membuka laluan di kelab gergasi Malaysia itu.

Kehadiran Abimanyu dianggap simbol kepada ‘Projek ASEAN JDT’ dalam kalangan penyokong. — Facebook Johor Southern Tigers

Perpindahan itu juga masih dianggap sebagai eksperimen berani JDT dalam strategi pemasaran dan peluasan pengaruh bola sepak mereka di Asia Tenggara.

Bagi Abimanyu, Harimau Selatan akan sentiasa punya ruang istimewa di hatinya. Dalam satu hantaran di Instagram, dia menitipkan rasa bangga dengan debutnya:

Important 3 points & absolute honour to made my debut for this club,” tulisnya.

Lebih manis, debut itu hadir ketika menentang Sabah FC apabila dia dimasukkan pada babak kedua, menggantikan legenda JDT, Safiq Rahim detik yang digambarkan penyokong sebagai ‘changing of guard’ di bumi Larkin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram